Monday, October 31, 2011

Warga UMP meriahkan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan

 
Kuantan, 27 Oktober-Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpeluang mengikuti Syarahan Pak Sako yang disampaikan ahli linguistik yang juga Profesor Bahasa Melayu daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini.

Syarahan Pak Sako ini merupakan program pembudayaan bahasa yang dilaksanakan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dengan memilih nama Pak Sako yang merupakan nama pena bagi tokoh bahasa dan penulisan kelahiran negeri Pahang, Allahyarham Ishak Haji Muhammad.
Program dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negari Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah dan UMP dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.


  

Syarahan bertajuk "Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara: Bahasa Pemangkin Jati Diri Bangsa" itu mengupas persepsi kaum Melayu, Cina dan Tamil dalam penggayaan bahasa dan penyelesaian isu satu bahasa.

Menurut Prof. Emeritus Dr. Abdullah, Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu Tinggi yang dipelajari di sekolah, ada tata sebutannya, ejaan, nahu, tata penggunaan dan dipelajari semua kaum di samping belajar bahasa ibunda masing-masing.

"Bahasa Melayu Tinggi kepunyaan semua warga Malaysia dan bukan orang Melayu sahaja. Malah, orang Melayu juga perlu belajar bahasa Melayu ini," katanya.

Beliau berkata apabila semua warga Malaysia menerima bahasa Melayu Tinggi ini sebagai bahasa kebangsaan, maka baharulah Malaysia mempunyai satu bahasa yang tidak menafikan bahasa minoriti lain untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Sri Safian Ismail dalam ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Pembangunan Negeri, Dato’ Zulkefli Othman berkata, gabungan tiga agensi besar yang pakar dalam bidang bahasa ini dapat merancakkan lagi usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan menyemarakkan budaya rakyat di Malaysia.

"Sambutan bulan bahasa ini juga merupakan simbolik dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan kita," katanya dalam perasmian program yang diadakan di Dewan Astaka UMP.

Manakala Pengarah Jabatan Kebudayaaan dan Kesenian Negara, Mohd Sukarno Abdul Wahab berkata, program yang disambut setiap tahun pada bulan Oktober ini dapat mempromosi dan mendedahkan masyarakat dalam menyemarakkan pembudayaaan bahasa Melayu. "Program perbudayaan bahasa perlu dilaksanakan secara berterusan dan terancang demi mencapai objektif melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu melalui satu bahasa," katanya.

Majlis turut menyaksikan pelancaran buku Antologi Sayembara Puisi Merdeka UMP terbitan Jabatan Pendaftar dan Penerbit UMP yang mengandungi himpunan 100 hasil nukilan puisi daripada pelajar dan staf UMP sempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...