Thursday, October 6, 2011

7 Alumni Terima Hadiah Sanjungan


Kuantan, 30 September - Seramai tujuh orang ahli Alumni UMP  menerima Hadiah Sanjungan Kepimpinan yang buat julung kalinya diperkenalkan tahun ini dalam Majlis Makan Malam Graduan sempena Majlis Konvokesyen Keenam UMP anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) baru-baru ini.

Mohd. Norfarhan Mohd Mustafa dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik menerima Hadiah Sanjungan Kepimpinan. Sifat kepimpinan beliau terserlah apabila pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Mahasiswa Anak Pahang Kebangsaan (2008), Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Kuantan (2010), pengarah dalam program Mesra 1 Malaysia Kembara Hati Siswa (2011), memimpin  Konvensyen Mampan Kebangsaan (2011) dan pernah terlibat dalam Misi Bantuan Gempa Bumi Padang Indonesia.

Selain beliau turut menerima hadiah Nuraini  Mohd Yusoff dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) dinobatkan menerima  Hadiah Sanjungan Daya Usaha & Inovasi, graduan  Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Zarul Shazwan  Zullkafli bagi  Hadiah Sanjungan Sukan & Rekreasi dan graduan  FKKSA, Ainul Nadirah  Izaharuddin penerima Hadiah Sanjungan Kesenian & Kebudayaan.

Manakala Hadiah Sanjungan Kemasyarakatan / Kesukarelawan diterima Law Kok Sin dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Hadiah Sanjungan Pengucapan Awam oleh Mohamad Jumain  Mapplati , graduan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam dan  Hadiah Sanjungan Keusahawanan dianugerahkan kepada graduan FKEE, Muhamad Nur Zakwan  Zainal. Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, “UMP buat julung kalinya memperkenalkan Hadiah Sanjungan Malam Graduan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada graduan yang aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sepanjang berada di UMP,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di Hotel Zenith, Kuantan kepada seramai 700 ahli Alumni UMP.

 


“Universiti menghargai graduan yang  banyak menabur bakti  dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan dalam  melonjakkan nama UMP,” kata beliau yang turut  melancarkan Tabung Alumni Prihatin Atas Talian.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin menyarankan agar  ahli Alumni terus aktif dan bersama-sama menggembeling tenaga bersama warga UMP dalam membangunkan universiti .

Katanya, Tabung Alumni Prihatin Atas Talian yang tubuhkan adalah medan interaksi antara Alumni dengan UMP untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan universiti bertaraf dunia.
 

Tabung ini dapat memudahkan ahli alumni  untuk  memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar UMP yang memerlukan dengan hanya menyalurkan sumbangan melalui atas talian dan beliau mengharapkan ahli  Alumni dapat memanfaatkan Tabung Alumni Prihatin Atas Talian dengan sebaiknya sebagai saluran pertama penyalur sumbangan untuk pembangunan universiti dan alumni sendiri.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan pelajar UMP dan penampilan istimewa artis jemputan, Akim AF6. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Mohd Hilmey Mohd Taib,  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato' Dr. Rosli Mohd. Yunus,Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pembangunan Kualiti), Prof. Madya. Zulkifli Hassan dan Pengerusi Persatuan Alumni, Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...