Monday, October 31, 2011

Warga UMP meriahkan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan

 
Kuantan, 27 Oktober-Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpeluang mengikuti Syarahan Pak Sako yang disampaikan ahli linguistik yang juga Profesor Bahasa Melayu daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini.

Syarahan Pak Sako ini merupakan program pembudayaan bahasa yang dilaksanakan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dengan memilih nama Pak Sako yang merupakan nama pena bagi tokoh bahasa dan penulisan kelahiran negeri Pahang, Allahyarham Ishak Haji Muhammad.
Program dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negari Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah dan UMP dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.


  

Syarahan bertajuk "Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara: Bahasa Pemangkin Jati Diri Bangsa" itu mengupas persepsi kaum Melayu, Cina dan Tamil dalam penggayaan bahasa dan penyelesaian isu satu bahasa.

Menurut Prof. Emeritus Dr. Abdullah, Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu Tinggi yang dipelajari di sekolah, ada tata sebutannya, ejaan, nahu, tata penggunaan dan dipelajari semua kaum di samping belajar bahasa ibunda masing-masing.

"Bahasa Melayu Tinggi kepunyaan semua warga Malaysia dan bukan orang Melayu sahaja. Malah, orang Melayu juga perlu belajar bahasa Melayu ini," katanya.

Beliau berkata apabila semua warga Malaysia menerima bahasa Melayu Tinggi ini sebagai bahasa kebangsaan, maka baharulah Malaysia mempunyai satu bahasa yang tidak menafikan bahasa minoriti lain untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Sri Safian Ismail dalam ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Pembangunan Negeri, Dato’ Zulkefli Othman berkata, gabungan tiga agensi besar yang pakar dalam bidang bahasa ini dapat merancakkan lagi usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan menyemarakkan budaya rakyat di Malaysia.

"Sambutan bulan bahasa ini juga merupakan simbolik dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan kita," katanya dalam perasmian program yang diadakan di Dewan Astaka UMP.

Manakala Pengarah Jabatan Kebudayaaan dan Kesenian Negara, Mohd Sukarno Abdul Wahab berkata, program yang disambut setiap tahun pada bulan Oktober ini dapat mempromosi dan mendedahkan masyarakat dalam menyemarakkan pembudayaaan bahasa Melayu. "Program perbudayaan bahasa perlu dilaksanakan secara berterusan dan terancang demi mencapai objektif melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu melalui satu bahasa," katanya.

Majlis turut menyaksikan pelancaran buku Antologi Sayembara Puisi Merdeka UMP terbitan Jabatan Pendaftar dan Penerbit UMP yang mengandungi himpunan 100 hasil nukilan puisi daripada pelajar dan staf UMP sempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

UMP Bantu Ibu Tunggal dan Anak Yatim Tingkat Kesedaran IT

 Kuantan, 29 Oktober - Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus menyumbang kepakaran dalam membangunkan sosio-ekonomi dan memasyarakatkan universiti apabila berjaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam bidang ICT di kalangan seramai 311 ibu tunggal dan anak yatim sekitar negeri Pahang dengan penganjuran Bengkel Pengenalan laman Sosial dan Kesedaran ICT hari ini.

Bengkel anjuran Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia dan MSC Pahang ini melibatkan peserta daripada Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran, Mentakab, Pekan , Raub, Rompin dan Temerloh.

 

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Dato’ Maznah Mazlan, keperluan teknologi ini penting dalam usaha melonjakkan taraf ekonomi seterusnya memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk meningkatkan kemahiran diri seterusnya mengubah cara hidup dan pemikiran kepada yang lebih baik.

"Penganjuran program ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membantu ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim untuk mempelajari penggunaan laman sosial bagi memperolehi capaian maklumat, mengetahui kebaikan dan keburukan teknologi maklumat supaya teknologi yang ada ini tidak disalah gunakan untuk perkara-perkara yang tidak sihat," kata beliau semasa merasmikan majlis penutup bengkel di Dewan Astaka UMP di Gambang.

Beliau menasihatkan ibu tunggal agar dapat memantau aktiviti anak-anak remaja mereka dalam menggunakan laman sosial ini dan mengawal diri mereka supaya tidak terjerumus dalam aktiviti negatif hasil daripada melayari laman-laman sosial yang tidak berfaedah.

"Isu-isu seperti pengodaman dan penipuan amat berleluasa di talian dan jika kita tidak memberikan maklumat yang betul akan kesan-kesannya mungkin anak-anak kita tidak menyedari bahawa mereka secara tidak langsung telah terjebak dalam gejala negatif ini," katanya.

Dato’ Maznah berkata, ibu tunggal di Malaysia harus mengambil peluang dengan pelbagai program yang disyorkan kerajaan termasuk mengambil upah bekerja di rumah.

Selain itu, katanya pihak kerajaan juga tidak memandang sepi golongan ibu tunggal ini dan mengharapkan agar kajian menyeluruh terhadap pembangunan ibu tunggal ini harus dilaksanakan.

 

Manakala, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, universiti sebagai kampus masyarakat turut memikul tanggungjawab sosial bagi membantu kerajaan mendekati rakyat daripada pelbagai lapisan dan golongan.

Justeru katanya, universiti telah mengenalpasti pembangunan sosio-ekonomi sebagai salah satu bidang Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UKRA) yang menunjangi pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2011- 2015.

Beliau berkata, sokongan berterusan daripada pihak kerajaan serta badan-badan korporat berupaya melestarikan inisiatif-inisiatif yang digerakkan UMP dapat melunaskan kewajipan sosial setiap organisasi.

Peserta bengkel, Noraida Mohd Sulong, 43 dari Kuantan yang menyara enam anaknya berkata, bengkel ini akan membantunya dalam berhubung dengan pelanggan dan rakan bisnesnya secara maya. Beliau yang sudah memiliki akaun facebook menjalankan perniagaan menjual kek lapis dan produk kecantikan lebih 15 tahun.

Hadir sama dalam majlis, Pegawai Eksekutif Kanan MSC Malaysia Negeri Pahang, Hazlina Hussin, Penyelaras Sukarelawan Yayasan Salam Malaysia Negeri Pahang, Shariman Abdul Rahman, Penasihat Persatuan Matahari, Datin Fazia Ali dan Dekan FSKKP, Prof. Madya Dr. Jasni Mohd. Zain .

 

Metro:Ibu Tunggal,Anak Yatim Tingkat Ilmu ICT

Thursday, October 27, 2011

Selamat Menyambut Hari Deepavali

UMP Jalin Kalobrasi Amal Perkongsian ICT

Kuantan, 27 Oktober- Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkongsi kepakaran dan amalan teknologi maklumat (ICT) dengan memperkenalkan produk ICT di kalangan IPT lain termasuk Politeknik, kolej, Industri, agensi kerajaan dan swasta di Malaysia.

Langkah ini juga sebagai inisiatif UMP dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan atau GTP bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih berkesan dan cekap menggunakan aplikasi ICT sebagai pengupaya utama (key enabler).           

Justeru, keutamaan diberikan kepada pembangunan dan penggunaan ICT dalam skop yang lebih luas dengan meliputi pembangunan sistem dan proses kerja yang berkualiti.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik & Penyelidikan), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, hasil kolaborasi ini mampu menambah nilai kepada perkhidmatan ICT di organisasi masing-masing dengan memberi kebaikan dan pulangan untuk jangka masa pendek dan masa hadapan.

"UMP meletakkan ICT pada satu landasan berkonsepkan   E-Management dalam memacu Universiti ini ke arah pengurusan dan pentadbiran elektronik dengan menekankan kepada ciri-ciri seperti automasi, dinamik, kepintaran, integrasi pangkalan data, pengurangan penggunaan kertas dan sistem aplikasi bersepadu,” katanya merasmikan Majlis Pelancaran Produk ICT di Dewan Astaka hari ini.

Katanya, peranan yang dimainkan Pusat Bisnes ICT yang ditubuhkan di bawah Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (PTMK) baru-baru dijangka dapat dimanfaatkan pihak lain dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing berorientasikan (ICT) dalam pelaksanaan sistem pengurusan maklumat bersepadu yang melibatkan Sistem Maklumat Staf, Sistem Maklumat Kewangan, Sistem Maklumat Pelajar, Sistem Maklumat Korporat dan Sistem Maklumat Penyelidikan.

Beliau juga mengharapkan inisiatif  ini akan dapat merealisasikan  hasrat  universiti bagi   menjana pendapatan universiti selaras dengan Pelan Stategik    UMP 2011-2015 dalam kelestarian kewangan.

Manakala menurut Pengarah PTMK yang juga Pengarah Urusan Pusat   Bisnes ICT, Prof. Madya Dr. Wan Maseri    Wan  Mohd, pihaknya menawarkan      khidmat konsultansi dan produk ICT lain  termasuk perkhidmatan rekebentuk, koding, intregrasi system, pembudayaan, perancangan ICT, latihan   kepakaran dan program khidmat nasihat ICT.

 

Katanya, pihaknya juga memberi perkhidmatan kepada organisasi luar  melibatkan IPT, pusat latihan dan agensi kerajaan dalam menjayakan  konsep ‘outsourcing’ yang diperkenalkan Kerajaan.

UMP pernah    dianugerahkan Anugerah Perdana Teknologi Maklumat (2003), Pikom Computimes ICT Awards dan MSC APICTA dalam pengamalan      konsep E-Management. Ini jelas terbukti apabila UMP kekal berada pada status lima bintang dalam penarafan MyMohes iaitu Sistem     Pengurusan Data Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang meletakkan       Universiti ini pada kedudukan pertama keseluruhan IPTA di Malaysia.

Sinar Harian:Hasrat Derma Organ Termakbul

Warga UMP Tingkat Kesedaran Pendermaan Organ

Kuantan, 19 Oktober -  Hampir 1000 pengunjung tidak melepaskan peluang hadir mendapatkan informasi dan memeriahkan sambutan Minggu Pendermaan Organ Peringkat Negeri Pahang 2011 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan Kerjasama Pusat Kesihatan Pelajar, Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.

Sambutan bertemakan "1 Malaysia 1 Harapan : Dermalah Organ Demi sebuah Kehidupan" ini diadakan bersempena Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan tisu yang dirai mulai 16 hingga 24 Oktober setiap tahun di Malaysia.


Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Nooraini Baba berkata, program ini dapat mempromosi dan mendedahkan masyarakat Malaysia khususnya rakyat negeri Pahang tentang pengertian sebenar pendermaan organ dan tisu.

Keperluan pendermaan organ dalam Negara semakin meningkat setiap tahun, namun kesedaran masyarakat berkaitan perdermaan organ masih belum meluas. Justeru, pihaknya mengadakan promosi untuk menggalakkan rakyat untuk tampil mendaftar sebagai penderma melalui penubuhan jawatankuasa Transplantasi Pendermaan Organ mahupun promosi melalui media massa.

"Hasil dari promosi ini, terdapat peningkatan jumlah di negeri Pahang iaitu seramai 1086 (83.3%) berbanding 708 pengikrar pada tahun lalu," katanya. "Penderma juga digalakkan pendermaan organ melalui pendermaan kadaverik iaitu pendermaan daripada individu yang disahkan mati otak .

"Individu yang disahkan mati otak boleh menderma semua organ dan tisu yang terdiri dari buah pinggang, jantung, paru-paru hati, kornea mata, tulang dan kulit," katanya semasa merasmikan Sambutan Minggu Pendermaan Organ Peringkat Negeri Pahang 2011 bertempat di Dewan Astaka, UMP.


Katanya lagi, komitmen sebagai pengikrar dapat memberi harapan kepada insan-insan yang menanti pemindahan organ untuk meneruskan kehidupan mereka. Manakala Penolong Naib Canselor Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti, Prof. Madya Zulkafli Hassan berkata, UMP menyedari tanggungjawab sosial korporatnya terhadap masyarakat setempat dengan menyokong program ini.

Katanya, semangat sukarelawan dan dermawan individu yang tampil sebagai pengikrar adalah amalan murni dan mulia. Beliau mengharapkan kerjasama sebegini dapat diperluaskan dengan meneroka lain-lain bidang memandangkan UMP juga mempunyai kepakaran tertentu yang boleh menyumbang kepada daya saing bersama untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Ayuni Mohammad, 19, berkata melalui forum yang turut membincangkan mengenai pendermaan organ ini bersama pihak Badan Nadwah Islamiyah Pahang dapat memberi peluang kepada beliau dan rakan-rakan mendapatkan informasi secara terus mengenai derma organ ini. Beliau berharap dapat berbakti kepada insan yang memerlukan suatu hari nanti.

Selain forum bertajuk "Anugerah Kehidupan" turut diadakan pertandingan penulisan esei, derma darah dan pengujung juga berpeluang memeriksa tahap kesihatan dan panduan pemakanan di tapak pameran. Majlis sambutan ini juga berjaya menerima seramai 88 orang pengikrar derma organ yang baharu mendaftar.

Hadir sama memeriahkan program ini, Ketua Polis Pahang, SAC Datuk Sharifuddin Abd Ghani, Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pusat Kesihatan Pelajar UMP, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit.

Presiden CUEPACS Berdialog Bersama Staf UMP

Kuantan, 18 Oktober - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Dato’ Haji Omar Osman menyarankan staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menubuhkan persatuan yang bertujuan mengeratkan hubungan lebih  harmoni di kalangan pekerja dan pihak majikan.

Katanya, penubuhan persatuan ini sebagai kumpulan perunding yang memainkan peranan untuk sama-sama  mencapai objektif dalam memajukan universiti.  Beliau hadir dalam menyampaikan taklimat kepada hampir 100 orang staf UMP dalam Majlis Taklimat Isu Semasa dan Berdialog Bersama Presiden Cuepecs di Auditorium Perpustakaan UMP anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini. Hadir sama Setiausaha Gabungan Presiden dan Setiausaha Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia  (Gakum), Ku Azmi Ku Ibrahim.

Menurut beliau, hampir 80 peratus daripada tuntutan pihak Cuepecs telah ditunaikan kerajaan dalam pembentangan bajet baru-baru ini. Antaranya ialah pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, had umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Selain itu, perubahan drastik Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sistem gaji satu lapis, pemberian bonus setengah bulan gaji dan juga kenaikan tahunan sebanyak dua peratus untuk pesara kerajaan yang disifatkan beliau sebagai satu usaha kerajaan untuk membantu kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah.

"Had umur persaraan yang diluluskan itu adalah selari dengan yang diamalkan oleh penjawat-penjawat awam di negara-negara Asean," kata beliau.

Katanya penjawat awam seharusnya mengubah sikap ke arah transformasi perkhidmatan awam, bekerja lebih komited dan berdedikasi dalam menjalankan tugas memandangkan kerajaan sudah memenuhi tuntutan yang mereka suarakan sebelum ini.

“Bermula hari ini, kakitangan kerajaan seharusnya lebih berintegriti dan bersemangat untuk melaksanakan tugas supaya mereka tidak dipertikaikan oleh sesetengah pihak kerana mereka sudah dapat apa yang mereka mahukan.

“Memandangkan had umur persaraan baru sudah dilanjutkan sehingga 60 tahun, mereka hendaklah menjaga kesihatan agar produktiviti dapat dikekalkan serta dapat  menyumbang idea dan inovasi,” katanya sambil mengingatkan para graduan agar tidak berasa bimbang kerana ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor awam pada masa akan datang
.
Sementara itu Pendaftar, Haji Mustafa Ibrahim memuji inisiatif staf UMP dalam menubuhkan Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas dan terbaharu yang sedang diusahakan ialah Persatuan Staf Akademik. Beliau mengharapkan agar staf UMP terus bersemangat meningkatkan kecekapan, produktiviti dan mengamalkan budaya kerja terbaik apatah lagi kebanyakkan warga UMP masih muda dan bakal  menjadi pelapis pada masa akan datang.

Tuesday, October 18, 2011

ISU2 kampus Pekan

           Ringkasan Beberapa isu/masalah kebajikan Kampus Pekan
Masalah
Cadagan
 Penyelesaian & Respon
KK5
1.Hampir 1 semester telah berlalu, masalah internet slow di KK5 masih tidak selesai. Respon daripada pihak PTMK pekan, En.Badrul menyatakan di pihak mereka telah menghantar proposal bagi menwujud kondisi pengunaan internet yang lebih baik, tetapi, proposal yang telah dihantar ke KPT tersebut masih “sangkut” kerana bajet yang diperuntukan adalah hampir mencecah RM 1 juta. Kerana lina yg ada skrg ni, line yg di tarik dari gambang.

1.Cadangan daripada YDP, Fazli Halim: sekiranya kita tidak mampu membantu
 pihak PTMK dari segi bajet, 
kita come out dengan penyelesaian 
yang kita sendiri cadangkan
pada pihak mereka bagi
menyelesaikan masalah ini,
 contohnya, memilih tempat2
 yang boleh dijadikan pusat
sehenti pelajar untuk mendapatkan
 capaian internet yang 
lebih baik, seperti café, atau pun 
d bilik2 tertentu bagi memudahkan
 pelajar.

Respon:

1. sememangnya pihak ptmk
mghadapi masalah di peringkat
atasan,
di sebabkan bajet.
Tetapi, di pihak mereka
untuk cuba memperbaiki
system yg ada. Di 
 jangkakan untuk ump pekan akan 
memiliki line sendiri adalah sem yg 
akan datang.


-Staf PTMK

2.Pengunaan Library pada waktu malam  diperlukan bagi student untuk persediaan final exam.







2. memohon pengunaan library, 
di mana, study week bermula
 24/12/2011 sehingga final exam  
17/1/2012  kerana waktu
ini pelajar memerlukan
tempat yang sesuai
 untuk  study group.
 Cadangan 
waktu sehingga 12.00malam.

Respon :

Telah mendapat makluman untuk
 pengunaan library utk waktu malam:

Bermula pada 26/12/2011 
sehingga 15/1/2012.
Pada hari (Isnin - Jumaat) 
8.30am - 10.00pm.
& (Sabtu - Ahad) 
9.00am - 5.00pm


3.Terdapat sebilangan pelajar yang menyediakan perkhidmatan jualan di beberapa kawasan di kolej kediaman yang tidak dibenarkan oleh pihak JHEPA atas sebab2 tertentu.












4. Perkhidmatan bas untuk sabtu & ahad ke Bandar Pekan & Kuantan ada yang masih tidak clear waktu perjalanan.

3.perlunya menyediakan tempat 
khas untuk pelajar yang ingin 
 menjalankan penjualan terutamanya
 waktu yg terdekat iaitu waktu
 final exam, pelajar siswi
 terutamanya, jauh untuk
 mendapatkan makanan.

Respon:

 pusat aktiviti yang akan digunakan
 tidak lama lagi akan menyediakan 
tempat khas bagi pelajar yg ingin 
 berniaga.

-staf JHEPA



4. Perlu membuat pengumuman 
mengenai jadual pergerakan bas.

Respon:

pihak pengurusan bas perlu 
mengikut jadual yg telah ditetapkan
 tidak perlu mengikut kuantiti/jumlah penumpang.

-staf JPPH

p/s:so selepas ni,kalau ada 
lagi masalah bas tidak mengikut
 jadual, terus aduankan.



5.Mesin basuh, RO water, mesin pengering
Kemudahan asrama seperti mesin 
basuh dan mesin RO Water kerap
 rosak seperti air tidak keluar selepas
 masuk duit.
Sumber maklumat adalah dari pelajar
 yang datang mengadu di kaunter MPP,
setiap hari Rabu.

Respon:

Pihak pengurusan KK5 memberitahu
 ada menerima aduan di blok baru,
 blok E.sekiranya berlaku kerosakan,
 setiap 2 minggu/sekali ada pihak
 pembekal untuk menyelenggara.
-Sekiranya berlaku kerosakan Ro
 water, pastikan kenal pasti jenis 
 kerosakan dan melaporkan kepada 
pejabat kolej kediaman.Selepas aduan 
dicatat, pihak berwajib akan merespon/mengambil tindakan
 dalam masa 1 jam kerana kontraktor
 adalah dari Pekan.Mesin basuh 
dan Ro Water tidak akan berfungsi 
 atau akan berhenti sekiranya tiada 
sumber air.
- Bagi Mesin pengering(dryer), 
baru 1 buah di blok siswi dan
 akan ditambah di blik siswa
 dan siswi.(1 blok, 1 dryer).




6.Mesin minuman(vending machine)


- mencadangkan agar mesin 
air minuman diletakkan 
di tempat-tempat tumpuan
 seperti pusat aktiviti pelajar,

Respon:


-Respon: keperluan tersebut akan dipertimbangkan keperluan


7.Bilik tv
kerosakan berlaku iaitu astro 
tidak berfungsi iaitu di blik B.

respon:

respon: memang ada aduan 
dilaporkan iaitu siaran tergendala
.Selepas dilaporkan
kepada pihak astro, masalah
 diselesaikan. -Tempoh tindakan 
setelah menerima aduan: segera.
Kerosakan yang melibatkan 
penggantian akan mengambil masa
 jika tiada barang tersebut.

8.Pagar di sekitar blok baru KK5
Status pagar

Respon:

Respon: Ukuran pagar di setiap 
blok baru KK5 telah dibuat.Sebut 
harga juga telah keluar.Pada waktu ini
, hanya tinggal proses seterusnya.

9.Keperluan sukan indoor
agar keperluan sukan untuk pelajar
 ditambah kediaman pelajar.

Respon:

-Pihak kolej kediaman sedaya
 upaya memenuhi keperluan 
pelajar sebaik mungkin.Permohonan
 tambahan bagi gelanggang
 bola keranjang telah dibuat, 
tetapi terdapat kekangan kewangan.Kemungkinan
 diperoleh pada tahun 2012.
-Peralatan sukan indoor boleh
 dipinjam di pejabat kolej kediaman,
 juga boleh melalui PEKA 5.
- pihak PEKA 5 membuat jadual
 penggunaan  gelanggang bagi 
pelajar lelaki dan perempuan
(bergilir-gilir) agar semua pelajar
 dapat menggunakannya.
BAZAR MUHIBBAH
1.1 Ampaian yang telah dicabut tetapi tidak di pasang semula
1.2 Tandas sumbat,tombol pintu dan lantai rosak.
1.3 Rak kasut yang masih tidak mencukupi
1.5 Langsir surau diperlukan







2.Pelajar bazaar muhibbah memerlukan indoor sport untuk mengisi masa lapang. Seperti carom, chess & etc.










3.Pelajar ump yg duduk di bazaar telah beberapa di keluarkan saman kerana meletakkan kenderaan di tempat awam.
   Senarai segala kerosakan dan
 hantar aduan2 tersebut kpd 
  pihak yg sepatutnya. Juga perlu
  memohon RO water untuk 
keperluan pelajar.

Respon:

rak kasut telah di tambah.
Aduan kerosakan telah
 dimaklumkan kpd pihak 
kolej kediaman dan pemilik bazar.
Langsir untuk surau akan
 dapat dipasang sem hadapan.


2. memohon indoor sport yang 
diperlukan

Respon :

. baru2 ini, sukan ping pong telah
 di hantar ke bazar.
-pihak Jhepa akan cuba
 memaklumkan court futsa
l yg terdekat utk menyediakan 
hari khas bagi student ump utk mengunakannya.



Masalah berlaku bilamana, 
pelajar tidak mempunyai tempat
 strategic untuk meletakkan
 kenderaan.

Respon:

Dimaklumkan oleh ketua bazar
 yg telah berjumpa Dato NC,
 yg mengatakan dalam
 pertengahan bulan 12 ini
 akan di majukan projek utk 
membuat parking bagi pelajar.
 Namun sehingga sekarang tidak
 ada lagi. Mohon utk ri juk semula.
KLIK
1. Pelajar yang tinggal di luar kampus (sewa rumah) mengalami masalah bilamana penduduk kmpg yg tidak bertangjwb jwb pecah masuk rumah dan ada yg merosakkan kenderaan pelajar.

1. pihak keselamatan UMP
 perlu mengambil tindakan, 
kerana ada kes pelajar membuat
 aduan di balai polis berdekatan 
tetapi tidak di endah dan di arah 
kan ke balai polis pekan.

Respon:

1.pihak keselamatan akan
 mengambil tindakan sewajarnya.
Mohon rujuk semula

KK5
 ISU AIR
KK5 mengalami gangguan air. Dan melibatkan masalah di peringkat staf,fakulti,kafe dan apatah lagi pelajar asrama.
-mencadangkan agar JPPH
 lebih alert tentang bila dalam 
masa terdekat gangguan air akan
 berlaku untuk memberi kesediaan 
kpd semua agar berjimat – cermat
 dan menyimpan air untuk kegunaan 
 di waktu susah.

Respon:

-masalah air spt yg diketahui 
bukan masalah di peringkat universiti,
 tetapi di peringkat daerah pekan.
 Kerana tekanan air yg rendah. 
Mohon rujuk kepada NC 
mengenai masalah ini agar
 masalah yg sama tidak
 akan timbul.

Monday, October 17, 2011

Aston University Tinjau Prospek Kerjasama dengan UMP


Kuantan, 15 Oktober - Penawaran program-program pasca-siswazah berkaitan teknologi dan kejuruteraan secara usahasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) merupakan antara prospek yang ditinjau semasa lawatan singkat delegasi Aston University (Aston), United Kingdom ke universiti baru-baru ini.

Hasrat ini disuarakan oleh Ketua Program MSc Professional Engineering Aston, Bill Glew semasa lawatan dan sesi perbincangan yang diadakan bersama dekan, pengarah, penyelidik dan ahli akademik di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canseleri.

Menurut Bill Glew, Aston sedang mencari rakan kongsi strategik di Malaysia bagi tujuan kerjasama ini. Turut mengiringi beliau ialah Ketua Penyelidikan RFID Aston, Dr Ming K Lim.

Hadir mempengerusikan perbincangan ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam, Profesor Dr. Ideris Zakaria yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa). Perbincangan selama hampir dua jam ini turut menilai potensi penawaran program MSc Professional Engineering dan Masters in Leadership for Engineers (MiLE) secara usahasama antara UMP dan Aston pada masa hadapan.
Terdahulu, delegasi Aston ini mengadakan perbincangan awal bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz dan membuat kunjungan hormat kepada Naib Canselor, Profesor Dr. Daing Nasir Ibrahim di pejabat beliau sebelum diraikan dengan jamuan tengah hari di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri.

Aston yang diasaskan pada tahun 1895 ini terletak di bandar raya Birmingham dengan populasi pelajar seramai 9,500 orang. Universiti ini mencapai taraf sebuah universiti penuh pada tahun 1966. Sebagai antara universiti terbaik di United Kingdom, Aston berjaya mencapai kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 87 peratus, sekaligus meletakkan universiti ini di tempat kelima dari 120 buah universiti di negara tersebut.

Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UMP Tawar Peluang Pekerjaan

 

Kuantan 15 Oktober -  Karnival Kerjaya dan Keusahawanan (kakkUMP) anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang yang berlangsung tiga hari  berakhir semalam di Kompleks Megamall Kuantan berjaya membantu bakal graduan dan masyarakat setempat mendapatkan  peluang pekerjaan yang sesuai mengikut kemahiran masing-masing.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia YB Senator Dato’ Maznah Mazlan, “Program yang diperkenalkan kerajaan, 3P iaitu Program Penempatan Pekerjaan merupakan salah satu usaha berterusan pihak kerajaan untuk membantu memudahkan pencari kerja mendapatkan pekerjaan sekaligus dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.”

“Pihak Kementerian menubuhkan 22 buah Pusat JobsMalaysia yang merupakan pusat sehenti bagi majikan yang memerlukan tenaga pekerja dan pencari kerja yang berdaftar dipadankan agar kekosongan pekerjaan dapat diisi dengan cepat dan mudah,” katanya semasa merasmikan kakkUMP baru-baru ini.

Beliau menambah, Kerajaan turut memperkenalkan Tabung Usahawan Siswazah (TUS) yang diuruskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dalam membantu golongan yang minat dalam bidang perniagaan.



Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir berkata, karnival ini  merupakan medan pendedahan kepada pelajar, graduan dan orang ramai terhadap peluang kerjaya dan aspek-aspek penting yang berkaitan termasuklah syarat minimum, kelayakan, laluan kerjaya, insentif dan sebagainya.

Katanya, satu aspek lain yang diberi penekanan oleh Kementerian Pengajian Tinggi kini ialah bidang keusahawanan dengan wujudnya komponen pembudayaan keusahawanan dalam sukatan pengajian di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Karnival yang mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Pembimbing Rakan Siswa (Persis) ini menyaksikan lebih 40 syarikat  turut serta menjayakan program, antaranya melibatkan Isuzu Hicom Malaysia Sdn Bhd, Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd, Malaysia Airport (Niaga) Sdn Bhd, Bukit Gambang Resort City, KFC Holding (M) Berhad, Latifle Sdn Bhd dan Rangkaian Delima Plantation Sdn Bhd.


Selain pameran kerjaya dan keusahawanan turut diadakan  temuduga terbuka, ceramah kerjaya, ceramah motivasi oleh Osman Affan,  pertandingan band akustik terbuka dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

UMP Jayakan Penganjuran Karnival Bola Keranjang 3 on 3 IPT

 












Kuantan, 14 Oktober – Sebanyak 102 pasukan daripada 29 institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia menyertai karnival Bola Keranjang 3 on 3 bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi selama dua hari kejohanan baru-baru ini. Kejohanan anjuran Pusat Sukan UMP, Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) ini turut disertai 20 IPTA dan sembilan pasukan antaranya Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Teluk Intan, Kolej KDU Penang, Kolej KBU, Politeknik Sultan Azlan Shah dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah, karnival ini akan mencungkil bakat baru dan melahirkan lebih ramai atlet di kalangan pelajar IPT bagi mewakili negara dalam sukan bola keranjang.

Katanya, Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) bermatlamat menjadikan IPT pemangkin dalam pembangunan kecemerlangan sukan negara. "Program ini menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlit negara di kalangan atlit IPT atau `the thingking athletes’."

"Penglibatan pelajar dalam pembudayaan sukan di IPT dilihat bukan sahaja untuk mendedahkan diri para pelajar dengan gaya hidup yang lebih berkualiti malah mampu menerapkan ciri atau sifat positif yang lain dalam diri mereka," kata beliau semasa merasmikan Karnival Bola Keranjang 3 on 3 di Kompleks Sukan UMP.

 

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, "Sebagai Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang IPT, UMP turut memikul tanggungjawab untuk mencari dan menggilap bakat-bakat baharu sukan ini. Kepercayaan yang diberikan ini menuntut suatu perancangan rapi lagi strategik bagi memperkasa sukan bola keranjang sebagai sebuah sukan tumpuan," katanya.

Beliau mengharapkan karnival ini menjadi pendorong dalam memartabatkan UMP sebagai Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang dan mengharapkan sokongan orang ramai untuk memberi sokongan memajukan sukan bola keranjang ini.

Katanya, ujian sebenar kepada tahap keupayaan atlet bola keranjang adalah menghadapi cabaran daripada para pesaing dari luar negara dan ini termasuklah cabaran Sukan Universiti ASEAN Ke-16 di Laos dan World University Championship di Serbia pada tahun hadapan. Justeru, Karnival 3 On 3 ini berfungsi sebagai medan pemilihan untuk mengenal pasti bakat-bakat yang berpotensi untuk diketengahkan dalam kejohanan-kejohanan tersebut.

Hadir sama Timbalan naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato' Dr. Rosli Mohd. Yunus, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin,  Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Tony Azman Hassan, Randy Yap mewakili Setiausaha Agung MABA dan Ketua Pusat Sukan, Jasni Ladin.

 

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim yang menyaksikan pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) (B) dinobatkan Johan kategori kumpulan lelaki diikuti tempat kedua dimenangi pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (C), tempat ketiga dirangkul pasukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam (B) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) (A) di tangga keempat. Manakala, bagi kategori wanita pula dimenangi pasukan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) (A) diikuti USM (A), UUM (B) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (A).

Manakala, penganjuran buat pertama kalinya tahun lalu di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota Kuantan menyaksikan pasukan lelaki dari Universiti Malaya (UM) A dinobatkan juara mengalahkan UPM (A) manakala johan pasukan wanita dimenangi USM (A) setelah menewaskan UTM (D).

Wacana Strategi NC Bincang Pencapaian Pelan Strategik UMP

 


Kuantan, 12 Oktober -  Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus melangkah mencipta kecemerlangan berpandukan Pelan Strategik UMP 2011-2015 yang dilihat berada di landasan kukuh dan mampu menjadikannya sebagai universiti teknologi pilihan utama. Selaras dengan matlamat ini, UMP mengukuhkan komitmen yang digariskan dalam Pelan Strategik UMP melalui empat objektif yang spesifik, iaitu pertamanya melahirkan graduan yang berketrampilan melalui penawaran proram kejuruteraan dan teknologi yang kompetitif. Keduanya, menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan kepada industri dan masyarakat berdasarkan tujahan dan bidang kepakaran. Ketiga, diiktiraf sebagai sebuah institusi yang mengamalkan pengurusan dan budaya kerja cemerlang. Keempat, menerajui inisiatif terkini dalam bidang penyelidikan yang berkaitan dengan industri.

Sehubungan itu, UMP akan terus berpegang misi universiti dalam menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang tinggi kualitinya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang membudayakan kreativiti dan inovasi.

Dalam menyampaikan Wacana Strategi Naib Canselor yang membentangkan pencapaian Pelan Strategik UMP baru-baru ini, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata,  sepanjang sembilan tahun penubuhannya, UMP melalui beberapa fasa yang bermula dengan meletakkan asas sebagai universiti teknikal sejak penubuhannya pada tahun 2002.

Seterusnya, fasa kedua UMP berdepan dengan fasa transformasi dalam memperkukuh asas dan menjana kecemerlangan.

Katanya, kini universiti berada di fasa ketiga dan Pelan Strategik UMP 2011-2015  ini seiring dengan objektif Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dalam memartabatkan pengajian tinggi negara sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.

 

Dalam merealisasaikan hasrat ini, UMP mengenalpasti empat bidang keberhasilan utama universiti (KRA) iaitu, peningkatan kualiti akademik yang dipimpin  Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz; kelestarian kewangan dipimpin Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin memimpin pembangunan sosio-ekonomi. Dato’ Dr. Daing turut mengumumkan Profesor dari Fakulti Teknologi iaitu Profesor Dr. Ab. Razak Kamaruddin memimpin KRA keempat iaitu dalam bidang penjenamaan untuk penjajaran strategik.

Bagi meningkatkan kualiti akademik pada tahun ini, beliau berkata, “UMP kini berjaya mencapai sasaran 30 peratus staf akademik yang mempunyai kelayakan PhD.”

Selain itu, dalam memastikan staf UMP lebih kompeten, UMP kini memiliki seramai 109 staf (24 peratus) di kalangan staf akademik yang mempunyai latar belakang lebih lima tahun pengalaman di industri dan jumlah ini dijangka meningkat dan mencapai sasaran 30 peratus menjelang tahun 2015 nanti. 

Begitu juga dalam melahirkan graduan yang berketrampilan, UMP mensasarkan satu pelajar satu pengiktirafan sama ada berkaitan khidmat masyarakat, sukarelawan atau pun industri bagi memastikan pelajarnya mempunyai nilai tambah untuk bersaing dalam pasaran kerja.Beliau menyeru semua dekan fakulti dan staf universiti agar menyediakan program yang sesuai  untuk menjayakan hasrat ini.

Dato’ Daing Nasir berkata, UMP kini mula mendapat tempat untuk pelajar menyambung pengajian apabila 46 peratus daripada calon yang memilih UMP sebagai tempat pengajian mempunyai keputusan cemerlang iaitu, CGPA 3.0 ke atas. 

Wacana anjuran Pusat Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti diadakan di kedua-dua kampus UMP di Pekan dan Gambang dengan dihadiri hampir 1000 melibatkan  staf pentadbiran serta di kalangan  staf akademik. Dalam majlis yang sama beliau menasihatkan semua warga UMP untuk terus membina budaya dan semangat kerja berpasukan bagi meningkatkan prestasi organisasi.

Hadir sama Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti), Profesor Madya Zulkafli Hassan, Pendaftar Haji Mustafa Ibrahim, Bendahari  Zainuddin Othman dan Ketua Pustakawan Haji Ruslan Che Pee .

Friday, October 7, 2011

Sinar Harian:Tidak Sempat Genggam Diploma

Thursday, October 6, 2011

7 Alumni Terima Hadiah Sanjungan


Kuantan, 30 September - Seramai tujuh orang ahli Alumni UMP  menerima Hadiah Sanjungan Kepimpinan yang buat julung kalinya diperkenalkan tahun ini dalam Majlis Makan Malam Graduan sempena Majlis Konvokesyen Keenam UMP anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) baru-baru ini.

Mohd. Norfarhan Mohd Mustafa dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik menerima Hadiah Sanjungan Kepimpinan. Sifat kepimpinan beliau terserlah apabila pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Mahasiswa Anak Pahang Kebangsaan (2008), Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Kuantan (2010), pengarah dalam program Mesra 1 Malaysia Kembara Hati Siswa (2011), memimpin  Konvensyen Mampan Kebangsaan (2011) dan pernah terlibat dalam Misi Bantuan Gempa Bumi Padang Indonesia.

Selain beliau turut menerima hadiah Nuraini  Mohd Yusoff dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) dinobatkan menerima  Hadiah Sanjungan Daya Usaha & Inovasi, graduan  Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Zarul Shazwan  Zullkafli bagi  Hadiah Sanjungan Sukan & Rekreasi dan graduan  FKKSA, Ainul Nadirah  Izaharuddin penerima Hadiah Sanjungan Kesenian & Kebudayaan.

Manakala Hadiah Sanjungan Kemasyarakatan / Kesukarelawan diterima Law Kok Sin dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Hadiah Sanjungan Pengucapan Awam oleh Mohamad Jumain  Mapplati , graduan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam dan  Hadiah Sanjungan Keusahawanan dianugerahkan kepada graduan FKEE, Muhamad Nur Zakwan  Zainal. Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, “UMP buat julung kalinya memperkenalkan Hadiah Sanjungan Malam Graduan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada graduan yang aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sepanjang berada di UMP,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di Hotel Zenith, Kuantan kepada seramai 700 ahli Alumni UMP.

 


“Universiti menghargai graduan yang  banyak menabur bakti  dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan dalam  melonjakkan nama UMP,” kata beliau yang turut  melancarkan Tabung Alumni Prihatin Atas Talian.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin menyarankan agar  ahli Alumni terus aktif dan bersama-sama menggembeling tenaga bersama warga UMP dalam membangunkan universiti .

Katanya, Tabung Alumni Prihatin Atas Talian yang tubuhkan adalah medan interaksi antara Alumni dengan UMP untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan universiti bertaraf dunia.
 

Tabung ini dapat memudahkan ahli alumni  untuk  memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar UMP yang memerlukan dengan hanya menyalurkan sumbangan melalui atas talian dan beliau mengharapkan ahli  Alumni dapat memanfaatkan Tabung Alumni Prihatin Atas Talian dengan sebaiknya sebagai saluran pertama penyalur sumbangan untuk pembangunan universiti dan alumni sendiri.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan pelajar UMP dan penampilan istimewa artis jemputan, Akim AF6. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Mohd Hilmey Mohd Taib,  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato' Dr. Rosli Mohd. Yunus,Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pembangunan Kualiti), Prof. Madya. Zulkifli Hassan dan Pengerusi Persatuan Alumni, Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman.

103 Pasukan Bakal Beraksi Dalam Karnival Bola Keranjang 3 on 3 di UMP

 

Kuala Lumpur, 3 Oktober – Dijangka 103 pasukan akan menyertai karnival bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, malah pasukan turut berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai, hamper dan piala iringan bernilai hampir RM10,000," kata Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Sidang Media sempena Karnival Bola Keranjang 3 on 3 IPT 2011 di Olyimpic Hall Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karnival anjuran UMP dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia ini akan merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang dijangka diadakan pada 13 Oktober hingga 16 Oktober ini bertempat di Kompleks Sukan UMP. Karnival 3 0n 3 ini dijangka akan dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Menurut Dato' Daing, karnival ini akan mencungkil bakat baru dan melahirkan lebih ramai atlet di kalangan pelajar IPT bagi mewakili negara dalam sukan bola keranjang. Jelasnya, penyertaan terbuka kepada semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi, Politeknik, Kolej Komuniti dan jemputan Sekolah Menengah bagi kategori lelaki dan wanita.

"Syarat kejohanan kali ini diubah sedikit bagi membolehkan seorang pelajar antarabangsa turut serta dalam pasukan. Setakat ini UMP menerima 100 penyertaan membabitkan 59 pasukan lelaki dan 41 pasukan Wanita, " katanya.

Di antara pasukan yang bakal beraksi melibatkan IPTA seluruh Malaysia serta IPTS antaranya, Kolej Komuniti Kuching, Kolej INTI , Kolej Damansara Utama (KDU) Pulau Pinang, Kolej Bandar Utama (KBU) , Politeknik Sultan Azlan Shah dan Kolej Matrikulasi Pahang.

 

"Pertandingan akan dijalankan mengikut undang-undang Malaysian Basketball Association (MABA) dan sistem permainan ini akan dijalankan secara liga (round robin), " kata Dato' Daing.

Beliau mengharapkan karnival ini menjadi pendorong dalam memartabatkan UMP sebagai Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang dan mengharapkan sokongan orang ramai untuk memberi sokongan memajukan sukan bola keranjang ini.

Katanya, pihaknya merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan University of Singapore yang akan diadakan pada penghujung tahun nanti.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Sim Sin Heng berkata, pihaknya akan memberi sokongan dan menghargai komitmen UMP dan pihak kementerian dalam memartabatkan sukan bola keranjang di Malaysia.

Majlis turut menyaksikan serahan sumbangan minuman sempena kejohanan daripada Pengurus Permanis Sandilands Sdn. Bhd , Dinesh Kumar. Hadir sama dalam sidang media Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Tony Azman Hassan.

Saturday, October 1, 2011

Mahasiswa Dipuji Urus Expoconvo 11'



Kuantan, 16 September – "Penglibatan mahasiswa dalam penganjuran aktiviti berbentuk ilmiah dapat memberikan nilai tambah dalam pembangunan modal insan yang lebih holistik untuk membentuk individu yang berilmu, berkeyakinan dan berdaya saing," kata ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Rahman sempena Majlis Perasmian Expoconvo 2011 baru-baru ini di Dataran Canseleri UMP Gambang.

Katanya, dalam hal ini peranan mahasiswa sebagai pelapis generasi masa depan perlu bersedia menghadapi arus perubahan dewasa  ini. Dato' Sri Aziz memuji kesungguhan pelajar terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP dalam mengendalikan Expokonvo 11 sempena Majlis Konvokesyen ke-6 UMP kali ini dengan jayanya. Namun, beliau menyarankan agar mencari kelainan dalam penganjuran Expoconvo 11' terutamanya penglibatan pihak komuniti dan masyarakat setempat.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir berkata penganjuran Expoconvo ini dapat melatih mahasiswa menguruskan perniagaan dengan kondusif, penelitian jenis perniagaan dan susunatur gerai bagi memastikan peniaga selesa dan mendapat pulangan.



"UMP sentiasa berusaha memberi nilai tambah kepada graduan dengan menambah baik aktiviti kokurikulum, memperbanyakkan aktiviti keusahawanan serta persekitaran pembelajaran yang kondusif,"
Menurut beliau, pihak universiti tidak memandang remeh terhadap aktiviti yang bersifat keusahawanan, malah ianya terus digalakkan berkembang pesat. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Expoconvo 11', Mohammad Rizalman Aziz berkata, beliau amat bersyukur program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan dijalankan dengan jayanya.

Pihaknya turut menganjurkan pelbagai program dan pertandingan sempena Expoconvo 11'. Diantaranya ialah futsal, mewarna kanak-kanak, nasyid, akustika, pencarian bakat, Seminar `Easy Math', bola sepak jalanan, pameran anti dadah, kitar semula, Go-Cart, paintball dan derma darah.

Selain itu, terdapat hampir 80 gerai jualan yang disediakan untuk menjual pelbagai barangan seperti makanan, aksesori, pakaian, komputer dan lain-lain lagi. Hadir dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin, Yang di-Pertua MPP dan Pendaftar, Haji Mustafa Ibrahim.Tetamu yang hadir dipersembahkan dengan silat dan nyanyian kanak-kanak daripada Tadika Sri Fajar di Gambang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...