Monday, October 31, 2011

UMP Bantu Ibu Tunggal dan Anak Yatim Tingkat Kesedaran IT

 Kuantan, 29 Oktober - Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus menyumbang kepakaran dalam membangunkan sosio-ekonomi dan memasyarakatkan universiti apabila berjaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam bidang ICT di kalangan seramai 311 ibu tunggal dan anak yatim sekitar negeri Pahang dengan penganjuran Bengkel Pengenalan laman Sosial dan Kesedaran ICT hari ini.

Bengkel anjuran Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia dan MSC Pahang ini melibatkan peserta daripada Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran, Mentakab, Pekan , Raub, Rompin dan Temerloh.

 

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Dato’ Maznah Mazlan, keperluan teknologi ini penting dalam usaha melonjakkan taraf ekonomi seterusnya memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk meningkatkan kemahiran diri seterusnya mengubah cara hidup dan pemikiran kepada yang lebih baik.

"Penganjuran program ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membantu ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim untuk mempelajari penggunaan laman sosial bagi memperolehi capaian maklumat, mengetahui kebaikan dan keburukan teknologi maklumat supaya teknologi yang ada ini tidak disalah gunakan untuk perkara-perkara yang tidak sihat," kata beliau semasa merasmikan majlis penutup bengkel di Dewan Astaka UMP di Gambang.

Beliau menasihatkan ibu tunggal agar dapat memantau aktiviti anak-anak remaja mereka dalam menggunakan laman sosial ini dan mengawal diri mereka supaya tidak terjerumus dalam aktiviti negatif hasil daripada melayari laman-laman sosial yang tidak berfaedah.

"Isu-isu seperti pengodaman dan penipuan amat berleluasa di talian dan jika kita tidak memberikan maklumat yang betul akan kesan-kesannya mungkin anak-anak kita tidak menyedari bahawa mereka secara tidak langsung telah terjebak dalam gejala negatif ini," katanya.

Dato’ Maznah berkata, ibu tunggal di Malaysia harus mengambil peluang dengan pelbagai program yang disyorkan kerajaan termasuk mengambil upah bekerja di rumah.

Selain itu, katanya pihak kerajaan juga tidak memandang sepi golongan ibu tunggal ini dan mengharapkan agar kajian menyeluruh terhadap pembangunan ibu tunggal ini harus dilaksanakan.

 

Manakala, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, universiti sebagai kampus masyarakat turut memikul tanggungjawab sosial bagi membantu kerajaan mendekati rakyat daripada pelbagai lapisan dan golongan.

Justeru katanya, universiti telah mengenalpasti pembangunan sosio-ekonomi sebagai salah satu bidang Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UKRA) yang menunjangi pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2011- 2015.

Beliau berkata, sokongan berterusan daripada pihak kerajaan serta badan-badan korporat berupaya melestarikan inisiatif-inisiatif yang digerakkan UMP dapat melunaskan kewajipan sosial setiap organisasi.

Peserta bengkel, Noraida Mohd Sulong, 43 dari Kuantan yang menyara enam anaknya berkata, bengkel ini akan membantunya dalam berhubung dengan pelanggan dan rakan bisnesnya secara maya. Beliau yang sudah memiliki akaun facebook menjalankan perniagaan menjual kek lapis dan produk kecantikan lebih 15 tahun.

Hadir sama dalam majlis, Pegawai Eksekutif Kanan MSC Malaysia Negeri Pahang, Hazlina Hussin, Penyelaras Sukarelawan Yayasan Salam Malaysia Negeri Pahang, Shariman Abdul Rahman, Penasihat Persatuan Matahari, Datin Fazia Ali dan Dekan FSKKP, Prof. Madya Dr. Jasni Mohd. Zain .

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...