Monday, October 17, 2011

Wacana Strategi NC Bincang Pencapaian Pelan Strategik UMP

 


Kuantan, 12 Oktober -  Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus melangkah mencipta kecemerlangan berpandukan Pelan Strategik UMP 2011-2015 yang dilihat berada di landasan kukuh dan mampu menjadikannya sebagai universiti teknologi pilihan utama. Selaras dengan matlamat ini, UMP mengukuhkan komitmen yang digariskan dalam Pelan Strategik UMP melalui empat objektif yang spesifik, iaitu pertamanya melahirkan graduan yang berketrampilan melalui penawaran proram kejuruteraan dan teknologi yang kompetitif. Keduanya, menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan kepada industri dan masyarakat berdasarkan tujahan dan bidang kepakaran. Ketiga, diiktiraf sebagai sebuah institusi yang mengamalkan pengurusan dan budaya kerja cemerlang. Keempat, menerajui inisiatif terkini dalam bidang penyelidikan yang berkaitan dengan industri.

Sehubungan itu, UMP akan terus berpegang misi universiti dalam menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang tinggi kualitinya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang membudayakan kreativiti dan inovasi.

Dalam menyampaikan Wacana Strategi Naib Canselor yang membentangkan pencapaian Pelan Strategik UMP baru-baru ini, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata,  sepanjang sembilan tahun penubuhannya, UMP melalui beberapa fasa yang bermula dengan meletakkan asas sebagai universiti teknikal sejak penubuhannya pada tahun 2002.

Seterusnya, fasa kedua UMP berdepan dengan fasa transformasi dalam memperkukuh asas dan menjana kecemerlangan.

Katanya, kini universiti berada di fasa ketiga dan Pelan Strategik UMP 2011-2015  ini seiring dengan objektif Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dalam memartabatkan pengajian tinggi negara sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.

 

Dalam merealisasaikan hasrat ini, UMP mengenalpasti empat bidang keberhasilan utama universiti (KRA) iaitu, peningkatan kualiti akademik yang dipimpin  Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz; kelestarian kewangan dipimpin Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin memimpin pembangunan sosio-ekonomi. Dato’ Dr. Daing turut mengumumkan Profesor dari Fakulti Teknologi iaitu Profesor Dr. Ab. Razak Kamaruddin memimpin KRA keempat iaitu dalam bidang penjenamaan untuk penjajaran strategik.

Bagi meningkatkan kualiti akademik pada tahun ini, beliau berkata, “UMP kini berjaya mencapai sasaran 30 peratus staf akademik yang mempunyai kelayakan PhD.”

Selain itu, dalam memastikan staf UMP lebih kompeten, UMP kini memiliki seramai 109 staf (24 peratus) di kalangan staf akademik yang mempunyai latar belakang lebih lima tahun pengalaman di industri dan jumlah ini dijangka meningkat dan mencapai sasaran 30 peratus menjelang tahun 2015 nanti. 

Begitu juga dalam melahirkan graduan yang berketrampilan, UMP mensasarkan satu pelajar satu pengiktirafan sama ada berkaitan khidmat masyarakat, sukarelawan atau pun industri bagi memastikan pelajarnya mempunyai nilai tambah untuk bersaing dalam pasaran kerja.Beliau menyeru semua dekan fakulti dan staf universiti agar menyediakan program yang sesuai  untuk menjayakan hasrat ini.

Dato’ Daing Nasir berkata, UMP kini mula mendapat tempat untuk pelajar menyambung pengajian apabila 46 peratus daripada calon yang memilih UMP sebagai tempat pengajian mempunyai keputusan cemerlang iaitu, CGPA 3.0 ke atas. 

Wacana anjuran Pusat Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti diadakan di kedua-dua kampus UMP di Pekan dan Gambang dengan dihadiri hampir 1000 melibatkan  staf pentadbiran serta di kalangan  staf akademik. Dalam majlis yang sama beliau menasihatkan semua warga UMP untuk terus membina budaya dan semangat kerja berpasukan bagi meningkatkan prestasi organisasi.

Hadir sama Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti), Profesor Madya Zulkafli Hassan, Pendaftar Haji Mustafa Ibrahim, Bendahari  Zainuddin Othman dan Ketua Pustakawan Haji Ruslan Che Pee .

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...