Thursday, October 27, 2011

Presiden CUEPACS Berdialog Bersama Staf UMP

Kuantan, 18 Oktober - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Dato’ Haji Omar Osman menyarankan staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menubuhkan persatuan yang bertujuan mengeratkan hubungan lebih  harmoni di kalangan pekerja dan pihak majikan.

Katanya, penubuhan persatuan ini sebagai kumpulan perunding yang memainkan peranan untuk sama-sama  mencapai objektif dalam memajukan universiti.  Beliau hadir dalam menyampaikan taklimat kepada hampir 100 orang staf UMP dalam Majlis Taklimat Isu Semasa dan Berdialog Bersama Presiden Cuepecs di Auditorium Perpustakaan UMP anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini. Hadir sama Setiausaha Gabungan Presiden dan Setiausaha Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia  (Gakum), Ku Azmi Ku Ibrahim.

Menurut beliau, hampir 80 peratus daripada tuntutan pihak Cuepecs telah ditunaikan kerajaan dalam pembentangan bajet baru-baru ini. Antaranya ialah pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, had umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Selain itu, perubahan drastik Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sistem gaji satu lapis, pemberian bonus setengah bulan gaji dan juga kenaikan tahunan sebanyak dua peratus untuk pesara kerajaan yang disifatkan beliau sebagai satu usaha kerajaan untuk membantu kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah.

"Had umur persaraan yang diluluskan itu adalah selari dengan yang diamalkan oleh penjawat-penjawat awam di negara-negara Asean," kata beliau.

Katanya penjawat awam seharusnya mengubah sikap ke arah transformasi perkhidmatan awam, bekerja lebih komited dan berdedikasi dalam menjalankan tugas memandangkan kerajaan sudah memenuhi tuntutan yang mereka suarakan sebelum ini.

“Bermula hari ini, kakitangan kerajaan seharusnya lebih berintegriti dan bersemangat untuk melaksanakan tugas supaya mereka tidak dipertikaikan oleh sesetengah pihak kerana mereka sudah dapat apa yang mereka mahukan.

“Memandangkan had umur persaraan baru sudah dilanjutkan sehingga 60 tahun, mereka hendaklah menjaga kesihatan agar produktiviti dapat dikekalkan serta dapat  menyumbang idea dan inovasi,” katanya sambil mengingatkan para graduan agar tidak berasa bimbang kerana ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor awam pada masa akan datang
.
Sementara itu Pendaftar, Haji Mustafa Ibrahim memuji inisiatif staf UMP dalam menubuhkan Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas dan terbaharu yang sedang diusahakan ialah Persatuan Staf Akademik. Beliau mengharapkan agar staf UMP terus bersemangat meningkatkan kecekapan, produktiviti dan mengamalkan budaya kerja terbaik apatah lagi kebanyakkan warga UMP masih muda dan bakal  menjadi pelapis pada masa akan datang.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...