Monday, December 5, 2011

Berhibur Sambil Menderma Di Malam Pesta Cahaya

Kuantan, 26 Oktober- Lebih 500 orang di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi dan penduduk sekitar daerah hadir membanjiri Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini bagi memeriahkan Malam Pesta Cahaya anjuran Kelab Kebudayaan dan Kesenian dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) .

Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat India khususnya seperti tarian Barathanatyam, Bangra, Medley, persembahan artis jemputan, lakonan teater dan turut mengetengahkan bakat pelajar UMP sendiri.

Penonton juga dipersembahkan dengan tarian dari pelbagai budaya di Malaysia seperti tarian Melayu, Cina ,Iban serta kaum-kaum yang lain dan dikenali sebagai tarian 1Malaysia untuk menarik minat penonton.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, penganjuran acara ini merupakan isyarat yang amat positif dalam konteks keharmonian hubungan kaum antara agama di UMP khasnya dan Malaysia amnya.

"Menonjolkan budaya-budaya lain bukan sahaja dari kaum Melayu, India dan Cina malah budaya yang minoriti seperti di Sabah dan Sarawak adalah perlu bagi memperkenalkan kepelbagaian masyarakat yang wujud di Malaysia ini."

"Sekiranya semangat ini dikekalkan, tidak mustahil keamanan dan keharmonian yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada hari ini akan terus berkesinambungan untuk diwarisi generasi akan datang," katanya semasa merasmikan program.

Selain itu, katanya peranan pemimpin pelajar juga penting untuk mengemudi pertubuhan dalam mengelolakan aktiviti dan program yang menyumbang kepada semangat muhibah dan perpaduan.

Tambah beliau, penggembelingan kreativiti dan komitmen secara selari berupaya menzahirkan inisiatif aktiviti dan programn yang tidak stereotaip sifatnya.

 
Sementara itu, Pengarah Program Malam Pesta Cahaya UMP 2011, Kesavan a/l Arumugam berkata, penganjuran kali ini lebih menarik berbanding sebelumnya memandangkan penonton digalakkan menderma sambil berhibur menyaksikan persembahan pelbagai budaya.

"Kelainan penganjuran tahun ini pastinya memberi makna keseronokan bukan sahaja pada penonton malah golongan yang kurang bernasib baik," katanya.

Kesavan berkata, penganjuran program ini berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak 5275 ringgit dan pihak persatuan juga turut menyumbang barangan keperluan untuk penghuni Rumah Kanak-Kanak Rapha yang terletak di bandar Kuantan.

Menurut pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli, Tan Fong Ling, 21 yang hadir menonton persembahan berkata beliau gembira kerana berpeluang menyaksikan persembahan berkonsepkan moden dan klasik mengikut selera remaja kini.

Selain itu katanya, beliau hadir untuk memberikan sokongan kepada rakan-rakannya yang bersungguh-sungguh menjayakan acara yang gilang gemilang ini.

Hadir menjayakan program adalah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin, penasihat program, Balu Ranganathan dan pensyarah dari Universiti Malaya, Profesor Dr. S. Kumaren.
 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...