Monday, October 17, 2011

Aston University Tinjau Prospek Kerjasama dengan UMP


Kuantan, 15 Oktober - Penawaran program-program pasca-siswazah berkaitan teknologi dan kejuruteraan secara usahasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) merupakan antara prospek yang ditinjau semasa lawatan singkat delegasi Aston University (Aston), United Kingdom ke universiti baru-baru ini.

Hasrat ini disuarakan oleh Ketua Program MSc Professional Engineering Aston, Bill Glew semasa lawatan dan sesi perbincangan yang diadakan bersama dekan, pengarah, penyelidik dan ahli akademik di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canseleri.

Menurut Bill Glew, Aston sedang mencari rakan kongsi strategik di Malaysia bagi tujuan kerjasama ini. Turut mengiringi beliau ialah Ketua Penyelidikan RFID Aston, Dr Ming K Lim.

Hadir mempengerusikan perbincangan ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam, Profesor Dr. Ideris Zakaria yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa). Perbincangan selama hampir dua jam ini turut menilai potensi penawaran program MSc Professional Engineering dan Masters in Leadership for Engineers (MiLE) secara usahasama antara UMP dan Aston pada masa hadapan.
Terdahulu, delegasi Aston ini mengadakan perbincangan awal bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz dan membuat kunjungan hormat kepada Naib Canselor, Profesor Dr. Daing Nasir Ibrahim di pejabat beliau sebelum diraikan dengan jamuan tengah hari di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri.

Aston yang diasaskan pada tahun 1895 ini terletak di bandar raya Birmingham dengan populasi pelajar seramai 9,500 orang. Universiti ini mencapai taraf sebuah universiti penuh pada tahun 1966. Sebagai antara universiti terbaik di United Kingdom, Aston berjaya mencapai kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 87 peratus, sekaligus meletakkan universiti ini di tempat kelima dari 120 buah universiti di negara tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...