Monday, October 17, 2011

UMP Jayakan Penganjuran Karnival Bola Keranjang 3 on 3 IPT

 












Kuantan, 14 Oktober – Sebanyak 102 pasukan daripada 29 institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia menyertai karnival Bola Keranjang 3 on 3 bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi selama dua hari kejohanan baru-baru ini. Kejohanan anjuran Pusat Sukan UMP, Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) ini turut disertai 20 IPTA dan sembilan pasukan antaranya Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Teluk Intan, Kolej KDU Penang, Kolej KBU, Politeknik Sultan Azlan Shah dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah, karnival ini akan mencungkil bakat baru dan melahirkan lebih ramai atlet di kalangan pelajar IPT bagi mewakili negara dalam sukan bola keranjang.

Katanya, Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) bermatlamat menjadikan IPT pemangkin dalam pembangunan kecemerlangan sukan negara. "Program ini menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlit negara di kalangan atlit IPT atau `the thingking athletes’."

"Penglibatan pelajar dalam pembudayaan sukan di IPT dilihat bukan sahaja untuk mendedahkan diri para pelajar dengan gaya hidup yang lebih berkualiti malah mampu menerapkan ciri atau sifat positif yang lain dalam diri mereka," kata beliau semasa merasmikan Karnival Bola Keranjang 3 on 3 di Kompleks Sukan UMP.

 

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, "Sebagai Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang IPT, UMP turut memikul tanggungjawab untuk mencari dan menggilap bakat-bakat baharu sukan ini. Kepercayaan yang diberikan ini menuntut suatu perancangan rapi lagi strategik bagi memperkasa sukan bola keranjang sebagai sebuah sukan tumpuan," katanya.

Beliau mengharapkan karnival ini menjadi pendorong dalam memartabatkan UMP sebagai Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang dan mengharapkan sokongan orang ramai untuk memberi sokongan memajukan sukan bola keranjang ini.

Katanya, ujian sebenar kepada tahap keupayaan atlet bola keranjang adalah menghadapi cabaran daripada para pesaing dari luar negara dan ini termasuklah cabaran Sukan Universiti ASEAN Ke-16 di Laos dan World University Championship di Serbia pada tahun hadapan. Justeru, Karnival 3 On 3 ini berfungsi sebagai medan pemilihan untuk mengenal pasti bakat-bakat yang berpotensi untuk diketengahkan dalam kejohanan-kejohanan tersebut.

Hadir sama Timbalan naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato' Dr. Rosli Mohd. Yunus, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin,  Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Tony Azman Hassan, Randy Yap mewakili Setiausaha Agung MABA dan Ketua Pusat Sukan, Jasni Ladin.

 

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim yang menyaksikan pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) (B) dinobatkan Johan kategori kumpulan lelaki diikuti tempat kedua dimenangi pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (C), tempat ketiga dirangkul pasukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam (B) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) (A) di tangga keempat. Manakala, bagi kategori wanita pula dimenangi pasukan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) (A) diikuti USM (A), UUM (B) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (A).

Manakala, penganjuran buat pertama kalinya tahun lalu di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota Kuantan menyaksikan pasukan lelaki dari Universiti Malaya (UM) A dinobatkan juara mengalahkan UPM (A) manakala johan pasukan wanita dimenangi USM (A) setelah menewaskan UTM (D).

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...