Thursday, October 6, 2011

103 Pasukan Bakal Beraksi Dalam Karnival Bola Keranjang 3 on 3 di UMP

 

Kuala Lumpur, 3 Oktober – Dijangka 103 pasukan akan menyertai karnival bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, malah pasukan turut berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai, hamper dan piala iringan bernilai hampir RM10,000," kata Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Sidang Media sempena Karnival Bola Keranjang 3 on 3 IPT 2011 di Olyimpic Hall Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karnival anjuran UMP dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia ini akan merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang dijangka diadakan pada 13 Oktober hingga 16 Oktober ini bertempat di Kompleks Sukan UMP. Karnival 3 0n 3 ini dijangka akan dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Menurut Dato' Daing, karnival ini akan mencungkil bakat baru dan melahirkan lebih ramai atlet di kalangan pelajar IPT bagi mewakili negara dalam sukan bola keranjang. Jelasnya, penyertaan terbuka kepada semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi, Politeknik, Kolej Komuniti dan jemputan Sekolah Menengah bagi kategori lelaki dan wanita.

"Syarat kejohanan kali ini diubah sedikit bagi membolehkan seorang pelajar antarabangsa turut serta dalam pasukan. Setakat ini UMP menerima 100 penyertaan membabitkan 59 pasukan lelaki dan 41 pasukan Wanita, " katanya.

Di antara pasukan yang bakal beraksi melibatkan IPTA seluruh Malaysia serta IPTS antaranya, Kolej Komuniti Kuching, Kolej INTI , Kolej Damansara Utama (KDU) Pulau Pinang, Kolej Bandar Utama (KBU) , Politeknik Sultan Azlan Shah dan Kolej Matrikulasi Pahang.

 

"Pertandingan akan dijalankan mengikut undang-undang Malaysian Basketball Association (MABA) dan sistem permainan ini akan dijalankan secara liga (round robin), " kata Dato' Daing.

Beliau mengharapkan karnival ini menjadi pendorong dalam memartabatkan UMP sebagai Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang dan mengharapkan sokongan orang ramai untuk memberi sokongan memajukan sukan bola keranjang ini.

Katanya, pihaknya merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan University of Singapore yang akan diadakan pada penghujung tahun nanti.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Sim Sin Heng berkata, pihaknya akan memberi sokongan dan menghargai komitmen UMP dan pihak kementerian dalam memartabatkan sukan bola keranjang di Malaysia.

Majlis turut menyaksikan serahan sumbangan minuman sempena kejohanan daripada Pengurus Permanis Sandilands Sdn. Bhd , Dinesh Kumar. Hadir sama dalam sidang media Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Tony Azman Hassan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...