Sunday, December 11, 2011

UMP Peneraju ICoE Dalam Bidang Acuan Tekap dan Sistem Suspensi

Putrajaya, 9 Disember- Universiti Malaysia Pahang (UMP) diumum sebagai peneraju pusat kecemerlangan industri (ICoE) acuan tekap (die and mold) hasil kerjasama dengan Miyazu Malaysia Sdn. Bhd dan Sistem Suspensi melibatkan Sapura Industrial Berhad. Pengumuman ini dibuat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Hou Kok Chung yang merasmikan  empat ICoE Kementerian Pengajian Tinggi  di Mariott Putrajaya semalam.

Selain UMP, turut diumum ICoE Teknologi Proses Permulaan-Rekabentuk dan Fabrikasi Wafer  melibatkan kerjasama antara Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dengan Infineon Technologies Kulim dan ICoE Pemasangan dan Pengujian Produk, Pembangunan Teknologi Pembungkusan dan Kejuruteraan Aplikasi untuk Proses Hiliran melibatkan Infineon Technologies Melaka dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai peneraju.

Menurut Dato’ Dr. Hou, penubuhan pusat ini seiring dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi dalam memacu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa berdaya saing dalam bidang akademik, penyelidikan dan sumber manusia sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
“Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) merupakan modus operandi yang dapat mengukuhkan lagi hubungan universiti industri selain daripada polisi dan amalan terbaik sedia ada masa ini.”

“ ICoE terdiri daripada sebuah industri utama dan sebuah university menerajui sebuah ICoE yang disokong jaringan pembekal industri bagi menjamin kelestarian kerjasama ini,” katanya berucap dalam majlis pelancaran ICoE.

Beliau berkata, bagi menjayakan ICoE, KPT memfokuskan tiga sektor ekonomi yang merupakan penyumbang tertinggi kepada ekonomi Malaysia iaitu sektor elektrik dan elektronik (E&E), automotif dan kimia.

“Misalnya, pada tahun 2009 sahaja sektor E&E menyumbang 6 peratus daripada  pendapatan Negara kasar (PNK) Malaysia, menjana 522,000 pekerjaan dan menyumbang 41 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.”

Namun katanya, cabaran hebat berdepan persaingan daripada Negara China, Taiwan, Singapura dan Negara Asia lain dalam menguasai aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), reka bentuk dan perkilangan  menyebabkan peratusan E&E di Malaysia menurun sejak 10 tahun lalu.  

Dato’ Dr. Hou berkata, pembangunan ICoE ini adalah serampang dua mata Kementerian dalam membantu memperkukuhkan jaringan hubungan universiti dan industri dengan lebih mantap melalui hasil penyelidikan serta pembangunan modal insan mengikut kehendak industri semasa.
 

Manakala menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir,  UMP menerusi Pusat Kecemerlangan Automotif (EAC) bekerjasama dengan  pihak Sapura dalam membangunkan program pengujian peralatan, projek penyelidikan dan pembangunan modal insan melibatkan  staf syarikat berkenaan.

Selain itu, kerjasama dengan pihak Miyazu pula merangkumi ceramah industri, projek penyelidikan acuan tekap, panel penilaian industri di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan pertukaran staf serta pelajar dalam program apprentis. 

Hadir dalam majlis Naib Canselor UniMap, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr Kamarudin Hussin, Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan, Ketua Eksekutif Sapura Industrial, Mohamad Razali Osman, Ketua Eksekutif Miyazu, Amrizal Abdul Majid dan Naib Presiden dan Pengarah Urusan Infineon Technologies, Peter Bailey serta Pengarah AEC, Dr. Adam Abdullah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...