Sunday, December 11, 2011

Kemeriahan Malam Antarabangsa UMP Pupuk Kepelbagaian Budaya

 
Kuantan, 9 Disember - Lebih 500 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) di kalangan pelajar dan staf luar negara memeriahkan Malam Antarabangsa 2011 anjuran Pejabat Antarabangsa (UMP) di Dewan Astaka UMP baru-baru ini.

Bertemakan warna-warna dunia menyaksikan persembahan pelbagai budaya dipertontonkan antaranya persembahan pelajar dari Bangladesh iaitu nyanyian Bengali bertajuk `Sonan Sona Sona Loke Bole Sona' dan 'Melai Jai Re Melai Jei Re', persembahan Kungfu, Taichi dan lukisan tradisional dari China, tarian Kalimantan Timur (Kancet Papatai dan Kancet Ledo) dari Indonesia, tarian tradisional Nigeria dan Yemeni.

Malah, makanan yang disajikan juga bertemakan antarabangsa apabila sebanyak 8 menu pelbagai negara turut disajikan, antaranya Samoosay dan Choolay Chaat dari Pakistan, Basta dan Busbosa dari Sudan, Pakon Pitha dan Chom-chom dari bangladesh, bakso dari Indonesia dan Cut Mirchi dari India.

Menurut Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim yang berucap merasmikan Malam Antarabangsa itu berkata, program ini merupakan acara tahunan yang melibatkan penyertaan pelajar antarabangsa dari pelbagai Negara bagi perkongsian budaya seterusnya memupuk semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan pelajar serta staf UMP.
 

Selain itu, ia merupakan platform bagi pelajar antarabangsa untuk memperkenalkan budaya yang unik dan tradisi Negara masing-masing.

"Berkonsepkan 1 Malaysia, semangat kerjasama dan bersatu tetap wujud dalam konteks kepelbagaian warganegara dalam memupuk keharmonian. "

"Kini UMP mempunyai seramai 181 pelajar antarabangsa dari pelbagai pelusuk dunia antaranya Nigeria, Yemen, Pakistan, India, Republik Chad, Iraq, Bangladesh, Uzbekistan, China, Sudan, Indonesia, Iraq, dan Libya," katanya.

Beliau berharap kepelbagaian program dapat dijalankan bagi meningkatkan perpaduan antara pelajar dengan warga UMP serta mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.

Pelajar program pascasiswazah dari Pakistan, Nawsher Khan yang sedang menyambung pengajian di Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) berkata beliau sungguh seronok dapat menyaksikan pelbagai persembahan dan berjumpa dengan rakan-rakan dari negara lain memandangkan kesuntukan masa menyebabkan mereka jarang berjumpa.

Begitu juga dengan Urme Salam, 31 dari Bangladesh yang sedang menyambung pengajian dalam ijazah kedoktoran di Fakulti Teknologi ternyata teruja kerana dapat mengadakan persembahan dan menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada pengunjung yang hadir.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Badrulhisham Abd Aziz , Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Pejabat Antarabanghsa, Dr Wan Norlidah AlQadri.
 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...