Sunday, December 11, 2011

45 Pelajar UMP Jelajah Masyarakat Pribumi

Seramai 45 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP)  menyertai ‘Program Jelajah Masyarakat Pribumi Malaysia (PriMa)’ untuk  mendekati masyarakat orang asli di samping mengenali budaya dan adat resam masyarakat di Perkampungan Orang Asli Kampung  Paya Rekoh dan Kampung Berdut Jerantut Pahang  baru-baru ini. 

Melalui program anjuran Exco Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 3 (PEKA 3) dan Sekretariat Khidmat Komuniti UMP ini, pelajar dapat mewujudkan persefahaman, kerohanian dan perkongsian pintar bersama anak-anak muda serta penduduk kampung serta mengukuhkan perasaan muhibbah tanpa mengira batas kaum, bangsa dan agama.

Menurut Pengerusi Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 3 yang juga pelajar  Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP) , Radhiah Zainon berkata, “Inisiatif mesra masyarakat dalam Program Khidmat Komuniti PriMa ini merupakan satu isyarat jelas bahawa UMP bukanlah sebuah institusi pengajian tinggi atau menara gading yang bersifat elitis, namun menghargai kewujudan jiran-jiran yang berada di sekelilingnya untuk hidup bersama dalam sebuah komuniti yang besar dan saling bergantung antara satu sama lain.”

Beliau yang juga Pemantau Program PRIMA berkata, aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat memupuk sifat peka para pelajar UMP terhadap masyarakat sekeliling dan seterusnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar setaraf dengan kehidupan masyarakat di bandar dari segi pendidikan, sosial, teknologi dan ekonomi.

Manakala, Pengarah Program Jelajah Masyarakat Pribumi Malaysia (Prima),  Rohanis Mohd Japaii berkata, melalui aktiviti ziarah ke rumah penginapan orang kampung, pelajar dapat bermesra dan mendekati penghuni rumah di samping  menyampaikan sumbangan termasuk makanan dan pakaian hasil sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpul.

Rohanis yang merupakan pelajar tahun akhir bidang Pengurusan Teknologi Industri berkata, program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan memberi tumpuan yang lebih sesuai terhadap kehendak masyarakat setempat.

Program dimeriahkan lagi dengan beberapa aktiviti yang melibatkan pelajar bersama penduduk kampung melibatkan aktiviti  gotong – royong sekitar kawasan perkampungan, melukis mural di dewan orang ramai dan aktiviti menyediakan juadah memasak bersama komuniti masyarakat kampung.
 

Selain itu, program turut mendapat kerjasama daripada agensi lain melibatkan pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Pusat Kesihatan Pelajar dalam usaha memberi ceramah kesedaran kesihatan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung.

Manakala slot bengkel bercucuk tanam dikendalikan dengan kerjasama pihak Jabatan Pertanian Daerah Temerloh dalam usaha memberi peluang dan maklumat terhadap penduduk kampung dalam mengusahakan produk pertanian yang bersesuaian untuk diusahakan.

Selain itu, turut diadakan ceramah motivasi dan latihan dalam kumpulan (LDK)  di kalangan pelajar sekolah, aktiviti sukaneka dan bersama penduduk kampung menjayakan malam persembahan kebudayaan melibatkan kedua-dua perkampungan ini.

Ketibaan  Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin dalam majlis perasmian penutup disambut meriah penduduk kampung.  Hadir sama menjayakan program, Pengetua Kolej Kediaman 3, Prof. Madya Dr. Normah Othman, Pengetua Kolej Kediaman 4, Dr. Sugeng Ariyono;  Tok Batin, Awang Abdullah dan Tok Empat Felda Jenderak Selatan, Osman Abu Bakar.
 

‘Program Jelajah Masyarakat Pribumi Malaysia (PriMa)’ turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad), Majlis Pengetua Kolej Kediaman dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...