Monday, December 5, 2011

1500 pelajar memeriahkan Karnival TaHa@UMP

Kuantan, 4 Disember- Karnival TaHa@UMP anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Berita Harian  mendapat sambutan meriah apabila lebih 1500 pelajar hadir menyertai pelbagai program sepanjang dua hari berlangsungnya karnival bertempat di Kompleks Sukan UMP.

Acara bermula dengan Larian URace sejauh 3 km di persekitaran kampus sebelum majlis perasmian Karnival dan pelancaran Kelab TaHa UMP yang dirasmikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim.
 

Menurut Dato’ Dr. Daing, melalui inisiatif penubuhan Kelab TaHa di Universiti ini  sebagai langkah permulaan, pihak pengurusan UMP optimis bahawa banyak peluang kerjasama yang berpotensi untuk diterokai bersama Lembaga Tabung Haji, dan Berita Harian.

“Sinergi secara strategik ini mampu menebarkan manfaat bukan sahaja untuk warga universiti malah masyarakat setempat yang meletakkan perkaitan rapat antara inisiatif acara ini dengan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2011-2015.”

“Penyertaan dalam aktiviti ini juga akan memperkaya pengalaman kampus, melebarkan ruang interaksi dan menggilap potensi pelajar universiti ini,” katanya semasa majlis perasmian.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Pahang, Haji Mohyeen Mohsen berkata, “Tabung Haji mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti yang memberi sokongan terhadap usaha murni kami memupuk amalan menabung di kalangan mahasiswa menerusi Kelab TaHa@U.

Beliau mengharapkan ahli Kelab TaHa akan memanfaatkan sepenuhnya keanggotaan mereka dengan menyertai pelbagai program seperti sukarelawan operasi haji tanah air, khidmat masyarakat, Skim Latihan Graduan, Duta TaHa@U, sukan, riadah dan peraduan dianjurkan bersama Berita Harian.Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni),  Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin, Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said, Pengurus Kanan Khidmat Pelanggan TH, Noor Azmima Ismail.


 

Manakala Presiden Kelab TaHa UMP, Mohd. Ameer Farhan berkata, lebih 10 gerai dan pameran disediakan termasuk kaunter Mobil di gerai Tabung Haji mendapat sambutan yang menggalakkan memandangkan pelajar mendaftar sebagai ahli kelab dan membuka akaun dengan kadar 2 ringgit sahaja.

“Berita Harian juga menyediakan gerai sempena karnival itu dengan sesi bergambar untuk pengunjung, cabutan bertuah dan pembelian cenderahati eksklusif,” katanya.

Beliau berkata, seramai 33 ahli Kelab TaHa UMP juga berkesempatan mengadakan lawatan dan menjalankan kerja amal di Madrasah Bahasa & Al-Quran (MaBIQ) di Tanjung Lumpur serta membawa adik-adik ini ke UMP.Dalam pada itu, Pertandingan Peringkat Akhir Debat Piala Naib Canselor (Kategori Bahasa Melayu) yang diadakan bersempena karnival ini menyaksikan juara dimenangi pasukan EEES1 yang diwakili Loshyini Devi Pothorajoo, Wu Daniel dan Shabnam Parween Mohd. Salim di pihak Kerajaan dalam membahaskan usul “ Demi Kestabilan Universiti AUKU Perlu Dipertahankan”.
 

Kumpulan ini  menewaskan EEES2 yang diwakili Alif Amiruddin Zaidi, Mohd. Syafiq Abd. Rahman, Siti Khalijah Abdul Latif dan Munir Hashim daripada pihak pembangkang. Selain itu, Wu Daniel diumumkan sebagai pendebat terbaik keseluruhan. Johan pertandingan membawa pulang wang tunai 1200 ringgit, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dan jualan, permainan congkak, uno, pertandingan futsal, sepak takraw, pencarian duta TaHa@U dan Malam Wardah Seni yang menampilkan persembahan artis Amar dan Najwa Latif yang turut memeriahkan karnival . 

Karnival melabuhkan tirai dengan tayangan filem “Valley of the Wolves Palestine 2011" dan Forum Agama “Kelebihan Menunaikan Haji di Usia Muda : Suatu Hijrah” yang dijayakan Ustaz Mansor Sulaiman sebagai moderator bersama ahli panel, Ustaz Mahmud Mat dan Imam Besar Masjid Tengku Ampuan Afzan Indera Mahkota Kuantan, Ustaz Zainuddin Zakaria.  Pelajar juga berpeluang mengambil bahagian dalam kursus dan simulasi haji yang dikendalikan Ustaz Mahmud Mat.
Penganjuran buat julung kalinya ini mendapat kerjasama daripada Perwakilan Kolej Kediaman (PEKA), Kelab Orator dan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PERSIS).
 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...