Monday, December 5, 2011

Teach Malaysia Teach signifikan bagi jayakan UKRA Pembangunan Sosio-ekonomi – Naib Canselor

Kuantan, 27 November – "Aktiviti kesukarelawan secara terancang dan terarah mampu menyumbang secara strategik kepada UKRA (Bidang Keberhasilan Utama Universiti) Pembangunan Sosio-ekonomi dalam kerangka Pelan Strategik UMP 2011-2015."

"Penyertaan dalam aktiviti ini akan membolehkan universiti ini dilihat kewujudannya, disedari kehadirannya dan didengari suaranya, " kata Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim ketika berucap dalam amanat khas beliau kepada seramai 68 orang ahli Kelab In-Smartive UMP sempena Kem Latihan Sukarelawan Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach (TMT) di Agro Semuji Resort baru-baru ini.

Hadir sama dalam majlis ialah isteri beliau, Datin Hajah Fazia Ali dan Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain. TMT adalah inisiatif peningkatan motivasi, sahsiah dan daya saing untuk pelajar tahun tiga dan empat sekolah rendah menggunakan modul khas dalam Bahasa Inggeris yang dipelopori oleh Pertubuhan Kebajikan & Kemajuan Sosial Pulau Pinang (PKKS) dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI).

Inisiatif yang dimulakan di Seberang Jaya, Pulau Pinang ini dikembangkan ke daerah Pekan atas saranan isteri Perdana Menteri, Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Sri Rosmah Mansor.

Pelaksanaan inisiatif rintis Projek Kilauan Mutiara TMT oleh Kelab In-Smartive di daerah Pekan akan dimulakan pada bulan Januari 2012 melibatkan lima buah sekolah rendah dan 108 orang peserta turut mendapat dukungan Pejabat Pelajaran Daerah Pekan dan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) Cawangan Daerah Pekan manakala PKKS bertindak sebagai Perunding Utama Projek.

Menyifatkan Projek Kilauan Mutiara TMT sebagai satu inovasi dalam gerak kerja kesukarelawan universiti ini, Dato’ Dr. Daing Nasir turut mengingatkan para sukarelawan untuk menjadikan pelaksanaan projek rintis TMT sebagai kayu ukur kemampuan Kelab In-Smartive untuk mengembangkan projek ini kepada semua 48 buah sekolah rendah di daerah Pekan pada tahun berikutnya.

Menurut Pengurus Projek Kilauan Mutiara TMT, Mohd Jamil Mohd Ja’afar, Kem Latihan Sukarelawan selama dua hari ini membolehkan para sukarelawan menekuni realiti sosio-ekonomi dan latar pemikiran bakal peserta projek ini.

"Cabaran paling besar untuk menjayakan Kilauan Mutiara TMT ialah untuk mengekalkan komitmen para sukarelawan dan menarik minat para peserta memandangkan projek ini akan berlangsung secara berterusan sehingga bulan November 2012," ujar Mohd Jamil merupakan Timbalan Presiden In-Smartive dan mahasiswa di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UMP.

Turut mengisi agenda Kem Latihan Sukarelawan ini ialah wacana khas "Daya Saing, Motivasi dan Pencapaian Akademik Pelajar Sekolah Rendah Daerah Pekan – Realiti, Cabaran dan Masa Depan," yang disampaikan Pengerusi PBPPP Cawangan Daerah Pekan, Dato’ Haji Ibrahim Ya’acob dan Pemangku Pegawai Pelajaran Daerah Pekan, Mohamad Zailani Mohamad Said.

Program latihan ini akan berkesinambungan pada 2 Disember nanti di mana Perunding Utama Projek dari PKKS akan menemui para sukarelawan TMT dalam satu majlis khas di UMP Pekan yang akan turut disertai Pengerusi PBPPP Cawangan Daerah Pekan dan Penasihat Kelab In-Smartive.
 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...