Tuesday, May 3, 2011

LAWATAN KERJA RASMI KDYTM TENGKU MAHKOTA PAHANG TUANKU CANSELOR KE UMP PEKAN

Pekan, 28 April - Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini berangkat menyempurnakan lawatan kerja rasmi baginda ke UMP kampus Pekan bagi meninjau perkembangan dan pembangunan yang sedang dilaksanakan di kampus tetap UMP di Pekan.
Baginda berkenan melawat  pembangunan peringkat  Fasa 1 yang menempatkan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) yang dilengkapi pejabat pentadbiran, makmal dan pusat pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, baginda turut diberi penerangan yang disembahkan Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim mengenai perancangan dan pembangunan kampus di Mukim Kuala Pahang ini.
Bangunan FKEE  mempunyai sebuah blok pentadbiran dengan tiga dewan kuliah berkapasiti 100 pelajar  serta  enam  bilik kuliah yang berkapasiti 40 orang dengan tiga blok makmal yang menempatkan 25 makmal pelbagai guna.
 
Manakala, bangunan FKM pula menempatkan satu blok pentadbiran dengan sebuah dewan kuliah yang boleh menampung kapasiti seramai 300 pelajar. 
Bangunan ini mengandungi enam bilik kuliah berkapasiti 40 orang dan empat blok makmal yang mempunyai 25 makmal pelbagai jenis yang turut menawarkan perkhidmatan pengujian dari pihak industri. 
Pada masa ini  dapat disaksikan bangunan asrama bagi  menempatkan seramai 648 pelajar dengan kemudahan sebanyak 326 bilik siap sepenuhnya yang dihuni pelajar tahun akhir dari kedua-dua fakulti.
Bangunan empat tingkat yang  mempunyai  tiga blok asrama iaitu 2 blok siswa dan sebuah blok siswa ini dilengkapi kemudahan surau, rumah felo dan  pejabat pengurusan asrama.
Dato' Daing Nasir berkata, "Pembangunan fasa 1B masih dalam peringkat pembangunan bagi menyiapkan bangunan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Perpustakaan dan Kolej Kediaman Pelajar (KKP) bagi menampung 1,400 pelajar yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini.
Bangunan perpustakaan empat tingkat nanti akan dilengkapi dengan bahagian pentadbiran, auditorium, bilik seminar dan ruang bacaan yang boleh menampung 600,000 buah buku serta seramai 3,200 pelajar dalam satu-satu masa," katanya.
Bagi menampung keperluan penginapan pelajar, UMP dijangka menempatkan 200 pelajar di Bazar Muhibbah di Pekan serta membeli 30 unit rumah di taman perumahan berdekatan Peramu hasil kerjasama melibatkan  Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Dalam majlis yang sama, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tuanku Canselor berkenan menerima watikah dilantik semula sebagai Canselor UMP untuk  tempoh lima tahun berkuat kuasa pada 1 April 2011.
 
Baginda berkesempatan menyaksikan pameran penyelidikan dan bermesra dengan penyelidik dalam pameran penyelidikan yang diadakan di bangunan FKM.
Selain itu, baginda turut berkenan menanam pokok landskap, iaitu Pokok Rantai Emas (Golden Chain) sebagai menyokong usaha kempen 'Hijaukan Bumi' di kampus UMP. 
Hadir sama dalam lawatan, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Dato' Mohd. Hilmey Mohd. Taib, Ahli LPU Dato'  Rohani Abdullah, Timbalan Naib Canselor  (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abd. Aziz dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato' Dr. Rosli Mohd. Yunus, Dekan FKM, Profesor Dr. Zahari Taha  dan Pemangku Dekan FKEE, Ir. Zulkeflee bin Khalidin.
Pembangunan UMP sebagai universiti teknikal berfokus ini dijangka dapat menghasilkan lebih ramai graduan jurutera praktikal dan  teknologis yang mampu memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...