Tuesday, September 6, 2011

UMP Terima 1931 Pelajar Baharu





Kuantan, 4 September – Seramai 1931 pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf berjaya melanjutkan pengajian ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadikan jumlah keseluruhan bagi sesi kemasukan 2011 termasuk perlajar Diploma yang mendaftar pada bulan Jun lalu seramai 2493 hari ini.

Sesuai dengan perkembangan dan kemajuan semasa Universiti ini, UMP kini berupaya meningkatkan bilangan kemasukan yang membolehkan lebih ramai anak bangsa mendapat peluang melanjutkan pelajaran bagi manfaat negara pada masa hadapan.
Pendaftaran kali ini menyaksikan seramai 329 pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, 308 daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik diikuti Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian seramai 291 dan Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli seramai 301 orang.


Seramai 240 pelajar mendaftar di Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam , 213 orang mendaftar di Jabatan Pengurusan Teknologi, 144 orang di Jabatan Kejuruteraan Pembuatan dan Fakulti Sains & Teknologi Industri seramai 107 orang.
Buat julung kalinya juga seramai 708 pelajar mendaftar di UMP Pekan, manakala seramai 1223 mendaftar di UMP Gambang.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 47 peratus pelajar lelaki berbanding 53 peratus pelajar perempuan.

Namun katanya, program kejuruteraan masih dimonopoli pelajar lelaki walau bagaimanapun perbezaan peratusannya kecil, iaitu 54 peratus lelaki berbanding 46 peratus pelajar perempuan.


Menurut Dato’ Daing, "Pendaftaran hari ini turut disertai seramai 26 pelajar baharu bagi mengikuti program kejuruteraan dual degree (dwiijazah) dalam bidang Mekatronik dengan kerjasama pihak Hochschule Karlsruhe Technic Und Wirtschaft (HsKA) di Karlsruhe, Jerman sejak tahun lalu."
Pelajar ini akan menjalani Minggu Induksi Siswa (MINDS) mulai esok hingga 10 September ini bagi membiasakan diri dengan cara kehidupan dan budaya pembelajaran serta keperluan dari segi akademik dan ko-kurikulum dalam meneruskan pengajian di universiti ini.
Selain itu, pelajar juga berpeluang mengikuti Majlis Amanat Naib Canselor, program bersama fakulti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan kolej kediaman termasuklah khidmat masyarakat bersama penduduk Kampung Sri Fajar di Gambang.
UMP menawarkan 23 program dalam bidang kejuruteraan dan teknologi bagi pengambilan pelajar baharu sesi akademik pada tahun ini.

1 comments:

wahh ramainya masuk daftar ump...tahniah!!!
harap kolej kediaman mencukupi la yea...
7ratus lebih kat pekan,sebab tu ramai senior TERPAKSA naik bus untuk berulang alik dari gambang ke pekan...
SABOR JELAH..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...