Friday, September 23, 2011

UMP Menang Sembilan Pingat Dalam Pecipta 2011


Kuala Lumpur,15 September - Universiti Malaysia Pahang (UMP)  terus cemerlang dalam  bidang penyelidikan apabila berjaya menggondol sembilan pingat, iaitu  satu emas, tiga perak dan lima gangsa di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa 2011 (Pecipta) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini. 

Pingat emas dimenangi penyelidikan daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) yang diketuai Dr Arun Gupta menerusi projek bertajuk “Manufacturing of Nano Wood Composites by using Carbon Nano Tubes (CNT) and Aluminium Oxide Nanoparticles. Hasil kajian beliau bersama tiga penyelidik lain yang terdiri daripada Prof. Madya Zulkafli Hassan, Dr. Mohammad Dalour Hussien Beg dan Mohammed Nasir  menemui kaedah penggunaan teknologi nano dalam bahan komposit kayu.

Penyelidikan Dr. Arun bersama tiga rakannya,Profesor Dato’ Dr Rosli Mohd. Yunus,  Dr. Mohammad Dalour Hussien Beg dan Mohammed Nasir turut menang pingat apabila hasil kajiannya bertajuk “Ecofriendly Binderless Wood Composite Boards Using Enzymes”  menerima pingat perak.

Pingat perak turut dimenangi penyelidikan yang diketuai Dr. Reddy Prasad menerusi produk “Development of Plywood Adhesive Formulation Using MUF Resin band Natural Fillers”.


Penyelidikan  pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik & Elektronik, yang diketuai Nor Maniha Abdul Ghani bersama Rohana Abdul Karim dan Nur Nadia Syamila Nasari juga menerima pingat perak dengan penghasilan sel bateri daripada bahan organik iaitu bahan buangan cacing.

Sementara itu, lima pingat gangsa pula dimenangi kajian penyelidikan yang diketuai Dr. Ahmed Mohamed Haidar, Prof. Dr. Jose Rajan, Prof. Dr. Sabira Khatun, Prof Madya dr. Hayder A. Abdulbari dan Muhammad Ikram Mohd Rashid.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata kejayaan ini sangat bermakna selepas produk hasil penyelidik UMP ini menang pingat di beberapa pameran dalam dan luar negara sepanjang 2011.
"Dengan kejayaan ini, diharap produk yang memenangi pelbagai pingat ini dapat dikomersialkan ," katanya.
Pecipta 2011 anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kementerian Pengajian Tinggi ini  dirasmikan  Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Khalid Nordin ini berjaya mempamerkan 450 hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Program bertemakan `Menyemarak Inovasi Bersama Model Baru Ekonomi', bukan saja menjadi medan mempamerkan produk R&D, bahkan muncul sebagai lokasi strategik antara pengamal industri dan produk ciptaan berkualiti daripada penyelidik tempatan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...