Friday, September 23, 2011

5000 Warga UMP Sambut Hari Raya



Kuantan, 20 September – Seramai 5000 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Universiti dalam suasana yang cukup meriah di hadapan Kompleks Sukan UMP.

Sebanyak 20 gerai disediakan mengikut jabatan yang menyediakan pelbagai juadah istimewa seperti menu nasi minyak disediakan Jabatan Pendaftar, nasi kerabu bagi Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi, sup dan roti disediakan oleh Jabatan Pembangunan & Pengurusan Harta, lemang dan rendang pula disediakan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Menu sate yang disediakan Pejabat Naib Canselor, Bahagian Audit dan Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti sebanyak 7000 cucuk turut mendapat sambutan.



Lain-lain menu yang disediakan termasuklah nasi impit, lontong. laksa Pahang, soto dan beraneka air dan kuih muih.

Majlis yang berkonsepkan gerai terbuka ini dirasmikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Dalam ucapannya, beliau mengharapkan majlis ini dapat mengeratkan hubungan antara warga universiti dengan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidil Fitri di samping terus berusaha memacu kecemerlangan universiti.

Menurut beliau, menariknya dalam majlis ini turut diadakan pertandingan gerai tercantik dan paling kreatif bertemakan suasana hari raya. Pemenang dinilai berdasarkan kreativiti, kekemasan, kebersihan dan keceriaan dalam membuat reka bentuk gerai.



Juara gerai terbaik dimenangi Pusat Kesihatan dan Bahagian Keselamatan yang menyediakan menu puding dan agar-agar. Tempat kedua pula dimenangi Jabatan Pendaftar diikuti Jabatan Bendahari di tempat ketiga.
Manakala tempat keempat dan kelima pula dimenangi Jabatan Pembangunan & Pengurusan Harta dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad).

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) , Profesor Dato' Dr. Rosli Mohd. Yunus, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat & Pengurusan Kualiti), Profesor Madya Zulkafli Hassan, Pengarah Pembangunan dan Pusat Islam (PIMPIM), Dr. Hasan Ahmad dan ketua-ketua jabatan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...