Friday, March 11, 2011

PERUTUSAN YANG DIPERTUA MPP UMP SESI 2011/2012

Assalamualaikum w.b.t  dan Salam Sejahtera,

Segala puji bagi Allah s.w.t yang memiliki kekuasaan Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. penghulu sekalian nabi.

Saya, Muhamad Fazli Bin Abdul Halim selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMP bagi sesi 2011/2012  mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan proses pemilihan majlis perwakilan pelajar yang telah berlangsung baru-baru ini . Ucapan tahniah dan syabas kepada sahabat-sahabat yang telah dipilih menjadi barisan ahli Majlis Perwakilan Pelajar UMP sesi 2011/2012. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan yang khusus diberikan kepada rakan-rakan mahasiswa yang telah memilih dan seterusnya memberikan kepercayaan kepada kami untuk meneruskan legasi kepimpinan mahasiswa UMP bagi sesi kali ini.

Saudara saudari yang dikasihi,

Sesungguhnya, beban tugas yang dipikul ini sangatlah berat dan mencabar. Namun, atas dasar rasa tanggungjawab, saya bersama dengan  teman-teman MPP sekalian akan sedaya upaya mewujudkan teladan kepimpinan yang baik demi memastikan kelangsungan pelaksanaan tugasan yang tersusun  sekaligus mencapai objektif yang dikehendaki.
Secara peribadi, besar harapan saya untuk  melihat kesatuan dalam kalangan mahasiswa UMP sebagai agenda utama sepanjang keberadaan kami selaku Majlis Perwakilan Pelajar. Bak kata pepatah “Bersatu kita teguh Bercerai kita roboh” harus difahami bahawa tanpa wujud sebarang kesatuan segala agenda perubahan sukar untuk direalisasikan. Kesatuan pemikiran menatijahkan kesatuan tindakan, maka saya menyeru rakan – rakan mahasiswa sekalian untuk bersama  dengan kami berganding bahu seiring sekata dalam merealisasikan sebarang agenda demi kebaikan kita bersama.Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi kali ini berasa bertangunggjawab atas kepercayaan yang diberikan untuk  mengembalikan fungsi dan peranan  kami bagi membela dan menuntut hak kebajikan mahasiswa yang kian dipinggirkan.          
Mahasiswa/i sekalian,

Perkara kedua yang ingin saya tekankan adalah berkenaan dengan kerjasama yang lestari antara pihak pengurusan universiti  dan juga MPP. Kami dibarisan kepimpinan selaku wakil mahasiswa yang telah diberi mandat dan kepercayaan pada kali ini berazam untuk sentiasa bersifat professional  terutamanya dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi sama ada diperingkat mahasiswa mahupun 
diperingkat pengurusan. Segala perselisihan ataupun salah faham akan cuba diselesaikan dengan cara yang penuh hikmah disamping tegas dengan prinsip kemahasiswaan. Segala tunjuk ajar dan teguran yang membina  dari pihak atasan amatlah kami alu-alukan. Justeru, sikap hormat-menghormati dan budaya kerja yang professional perlulah menjadi keutamaan  disemua lapangan pengurusan.

Akhir kata dari saya, pembawaan, harapan, serta matlamat secara umum yang telah diperjelaskan merupakan mukaddimah dalam kepimpinan bagi sesi kali ini. Saya mewakili barisan kepimpinan MPP sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh mahasiswa UMP sekalian kerana telah sudi menerima kami sebagai wakil suara anda. Diharap jalinan kerjasama antara seluruh warga kampus akan lebih erat pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

“DENGAN HIKMAH KAMI MEMIMPIN DENGAN HIKMAH MAHASISWA DIPIMPIN”

MUHAMAD FAZLI BIN ABD HALIM
YANG DIPERTUA MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR SESI 2011/2012
UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...