Thursday, October 27, 2011

Warga UMP Tingkat Kesedaran Pendermaan Organ

Kuantan, 19 Oktober -  Hampir 1000 pengunjung tidak melepaskan peluang hadir mendapatkan informasi dan memeriahkan sambutan Minggu Pendermaan Organ Peringkat Negeri Pahang 2011 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan Kerjasama Pusat Kesihatan Pelajar, Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.

Sambutan bertemakan "1 Malaysia 1 Harapan : Dermalah Organ Demi sebuah Kehidupan" ini diadakan bersempena Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan tisu yang dirai mulai 16 hingga 24 Oktober setiap tahun di Malaysia.


Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Nooraini Baba berkata, program ini dapat mempromosi dan mendedahkan masyarakat Malaysia khususnya rakyat negeri Pahang tentang pengertian sebenar pendermaan organ dan tisu.

Keperluan pendermaan organ dalam Negara semakin meningkat setiap tahun, namun kesedaran masyarakat berkaitan perdermaan organ masih belum meluas. Justeru, pihaknya mengadakan promosi untuk menggalakkan rakyat untuk tampil mendaftar sebagai penderma melalui penubuhan jawatankuasa Transplantasi Pendermaan Organ mahupun promosi melalui media massa.

"Hasil dari promosi ini, terdapat peningkatan jumlah di negeri Pahang iaitu seramai 1086 (83.3%) berbanding 708 pengikrar pada tahun lalu," katanya. "Penderma juga digalakkan pendermaan organ melalui pendermaan kadaverik iaitu pendermaan daripada individu yang disahkan mati otak .

"Individu yang disahkan mati otak boleh menderma semua organ dan tisu yang terdiri dari buah pinggang, jantung, paru-paru hati, kornea mata, tulang dan kulit," katanya semasa merasmikan Sambutan Minggu Pendermaan Organ Peringkat Negeri Pahang 2011 bertempat di Dewan Astaka, UMP.


Katanya lagi, komitmen sebagai pengikrar dapat memberi harapan kepada insan-insan yang menanti pemindahan organ untuk meneruskan kehidupan mereka. Manakala Penolong Naib Canselor Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti, Prof. Madya Zulkafli Hassan berkata, UMP menyedari tanggungjawab sosial korporatnya terhadap masyarakat setempat dengan menyokong program ini.

Katanya, semangat sukarelawan dan dermawan individu yang tampil sebagai pengikrar adalah amalan murni dan mulia. Beliau mengharapkan kerjasama sebegini dapat diperluaskan dengan meneroka lain-lain bidang memandangkan UMP juga mempunyai kepakaran tertentu yang boleh menyumbang kepada daya saing bersama untuk dimanfaatkan masyarakat setempat.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Ayuni Mohammad, 19, berkata melalui forum yang turut membincangkan mengenai pendermaan organ ini bersama pihak Badan Nadwah Islamiyah Pahang dapat memberi peluang kepada beliau dan rakan-rakan mendapatkan informasi secara terus mengenai derma organ ini. Beliau berharap dapat berbakti kepada insan yang memerlukan suatu hari nanti.

Selain forum bertajuk "Anugerah Kehidupan" turut diadakan pertandingan penulisan esei, derma darah dan pengujung juga berpeluang memeriksa tahap kesihatan dan panduan pemakanan di tapak pameran. Majlis sambutan ini juga berjaya menerima seramai 88 orang pengikrar derma organ yang baharu mendaftar.

Hadir sama memeriahkan program ini, Ketua Polis Pahang, SAC Datuk Sharifuddin Abd Ghani, Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pusat Kesihatan Pelajar UMP, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...