Kuantan, 16 September – Majlis Pra Pelancaran Expoconvo 11' yang disempurnakan YB. Kapt. (B) Dato’ Mohd Johari Hussain, Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman mendapat sambutan dan membuka tirai bermulanya aktiviti dan program yang akan berlangsung sempena Majlis Konvokesyen Keenam UMP yang akan diadakan pada 1 Oktober nanti.
Lebih 500 pengunjung hadir di Pantai Teluk Cempedak Kuantan bagi memeriahkan program Pra Pelancaran Expoconvo 11' anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP bagi mempromosikan acara, pameran dan gerai jualan sepanjang Expoconvo bermula 28 September di UMP Gambang.
Menurut Dato Johari, beliau berbangga dengan penganjuran Expoconvo ini yang dikendalikan sepenuhnya di kalangan mahasiswa UMP.
Katanya, Ianya secara tidak langsung ianya dapat membuktikan produk yang dihasilkan di institusi ini berjaya mencapai piawaian seperti yang diperlukan di industri.
"Mahasiswa juga perlu sedar akan cabaran dunia globalisasi moden yang tidak hanya bergantung pada keputusan akademik semata-mata namun turut menekankan kemahiran insaniah sebelum meninggalkan universiti ini.
"Mahasiswa dapat membuktikan mereka boleh melangkah jauh dan membuktikan kreativiti dan inovasi dalam melakukan sesuatu kerja," katanya.
Manakala Penolong Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP, Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, program ini dapat memberi maklumat dan hebahan kepada orang ramai untuk berkunjung ke UMP bagi memeriahkan program Expoconvo.
Pengarah Program, Mohammad Rizalman Aziz yang merupakan pelajar Fakulti Teknologi berkata, beliau amat bersyukur program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan dijalankan dengan jayanya.
Pihaknya mempelawa orang ramai untuk menyertai pertandingan futsal, mewarna kanak-kanak, nasyid, akustika dan pencarian bakat. Terdapat juga penganjuran Seminar `Easy Math', bola sepak jalanan, pameran anti dadah, kitar semula, Go-Cart , paintball dan derma darah.
Turut diadakan persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisional, silat gayung dan pencak silat yang dapat mengetengahkan bakat pelajar UMP. Mohammad Rizalman menjangkakan sebanyak 80 gerai jualan disediakan untuk menjual pelbagai barangan seperti makanan, aksesori, pakaian, komputer dan lain-lain lagi.
0 comments:
Post a Comment