Tuesday, September 6, 2011

MINGGU INDUKSI SISWA 2011, UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG

Mahasiswa Baharu UMP Dinasihat Manfaatkan Peluang





Kuantan, 5 September – Sesi pendaftaran pelajar baharu kali ini mencatatkan sejarah angka tertinggi apabila Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima seramai 1931 pelajar baharu yang akan menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di sini.
 Malahan, pendaftaran kali ini menyaksikan buat pertama kalinya seramai 708 pelajar mendaftar di  kampus Pekan.
 “Peningkatan jumlah pelajar ini sesuai dengan perkembangan dan kemajuan semasa Universiti ini, “ kata Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Majlis Perasmian Minggu Induksi Siswa (MINDS) di Kompleks Sukan UMP di Gambang hari ini.



Katanya, peningkatan jumlah ini membolehkan lebih ramai anak bangsa mendapat peluang melanjutkan pelajaran bagi manfaat negara pada masa hadapan.
Beliau mengharapkan tempoh seminggu yang diperuntukkan untuk MINDS 2011 bakal dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengenali  UMP , cara kehidupan dan  budaya pembelajaran serta keperluan-keperluan dari segi akademik dan ko- kurikulum yang perlu dipenuhi bagi meneruskan pengajian di Universiti ini.
UMP komited dalam memberikan total campus experience yang terbaik kepada pelajar Universiti ini yang diibaratkan sebagai satu pelaburan jangka panjang memandangkan  pelajar yang dibentuk dalam suasana budaya kampus yang kondusif pastinya akan kembali semula sebagai alumni yang menghargai alma maternya apabila tamat pengajian kelak.



Beliau juga melahirkan rasa bangga dengan komitmen seramai 150 pelajar kanan yang menjadi fasilitator dalam mengendalikan acara-acara Universiti yang penting termasuklah MINDS 2011 yang dikelolakan sepenuhnya pelajar UMP melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan seliaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni serta pusat-pusat tanggungjawab lain di Universiti ini.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, UMP sentiasa mengambil berat tahap keselesaan pelajar dan pada masa ini universiti sedang menaik  taraf asrama, kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
Katanya, pelajar harus bijak mengambil peluang keemasan dengan memanfaatkan kemudahan dalam menimba ilmu selama empat tahun di kampus ini.
Hadir dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus, Penolong Naib Canselor (Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti), Profesor Madya Zulkafli Hassan, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Muhammad Fazli Abd. Halim dan Pengarah MINDS, Mohd. Zulwafi Bahaudin.




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...