Penganjuran aktiviti sukaneka yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu peringkat kanak-kanak dan dewasa ternyata meriuhkan suasana serta berjaya merapatkan ikatan kekeluargaan di kalangan warga kerja UMP.
Antara acara yang dipertandingkan bagi kategori peringkat kanak-kanak adalah membawa bola ping pong dalam sudu, memancing botol, merebut kerusi bermuzik dan baling belon air.
Acara sukaneka peringkat dewasa juga turut menggamatkan acara apabila masing-masing menunjukkan kehebatan dalam merebut gelaran juara dalam acara boling bola ragbi, lari dalam guni, lari kaki tiga, susun bata, menganyam ketupat dan sambut sayang.
Program dirasmikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim. Turut hadir Pengerusi BKSS, Haji Mustafa Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Badrulhisham Abd Aziz, Timbalan Pengerusi BKSS, Ir Zulkeflee Khalidin dan Ketua Pustakawan, Haji Ruslan Che Pee.
Haji Mustafa berkata, program ini merupakan satu pendekatan untuk memanfaatkan masa kualiti di antara warga UMP bersama keluarga masing-masing.
"Sambutan hari keluarga seperti ini berupaya menjadi medan menyatukan antara staf bersama keluarga," kata beliau.
Menurutnya, pertemuan dalam suasana santai dan mesra mewujudkan semangat ukhwah yang baik seterusnya membolehkan staf dapat saling mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
Katanya, selama ini staf mungkin sibuk dengan tugas masing-masing sehingga sukar menjalankan aktiviti bersama keluarga, namun dengan adanya program sebegini secara tidak langsung dapat menggalakkan aktiviti riadah yang menyihatkan.
"Secara tidak langsung staf dapat mengenali antara satu sama lain memandangkan keluarga UMP sudah semakin besar dan jumlahnya kini mencapai 1,600 orang," katanya.
Selain itu, acara cabutan bertuah turut menawarkan lebih 400 hadiah menarik untuk dimenangi termasuk motosikal, loket emas, perabot jati, peralatan elektrik dan pelbagai hadiah lain.
Penerima hadiah utama, Penolong Akauntan dari Jabatan Bendahari, Ramlee Ab. Hamid berkata, beliau tidak menyangka dapat membawa pulang sebuah Motor Yamaha Ego S.
Beliau menganggap ianya sebagai hadiah sumbangan dari UMP untuk majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
0 comments:
Post a Comment