Monday, December 5, 2011

Transformasi Pensyarah Muda UMP

Kuantan, 24 November- Dalam usaha meningkatkan kecemerlangan sesebuah universiti bagi membentuk pelajar yang berketerampilan dan menghasilkan modal insan minda kelas pertama, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Pusat Pengajian Berterusan & Pembangunan Profesional (CENFED) menganjurkan Kursus Pembangunan Kepimpinanan dan Transformasi Pensyarah Muda bertempat di Hotel MS Garden Kuantan baru-baru.

Menurut Pemangku Pengarah CENFED, Haji Jamil Basri berkata, modul kursus kali ini mensasarkan keperluan dalam memenuhi sebahagian daripada latihan kepimpinan projek agenda kritikal (CAPS) dan pemahaman Pelan Transformasi Negara (GTP dan ETP) di kalangan pensyarah muda.

“Pensyarah juga didedahkan mengenai pemahaman terhadap Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), kepimpinan akademik dan kenegaraan,” katanya.


 


Kursus menampilkan penceramah yang pakar dalam bidang masing-masing. Mereka  terdiri daripada Prof. Dr Shamsuddin Baharin yang merupakan Pengarah Bahagian Hubungan Universiti Industri, Kementerian Pengajian Tinggi  yang mengupas tajuk kekuatan hubungan universiti-industri.

Hadir sama, Pengurus Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Lokman Affandy  Yahya yang membentangkan tajuk Pelan Transformasi Negara (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Peserta juga berpeluang meningkatkan pemahaman mengenai Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan Projek Agenda Kritikal (CAP) dalam ceramah yang disampaikan Prof. Madya Dr Harsieta Aini  Haroon yang merupakan Pengarah, Pejabat Pengurusan Prestasi (PMO) KPT.

Program turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim dalam  menyampaikan ceramah yang bertajuk “Kepimpinan Akademia dan Pengurusan Organisasi Cemerlang” serta  perbincangan mengenai  kenegaraan yang disampaikan Pengarah Biro Tatanegara Pahang, Hamizi  Yaakub.

Kursus selama tiga hari ini juga dilaksanakan dalam bentuk kuliah, interaksi dua hala termasuk latihan dalam kumpulan dan pembentangan kumpulan.

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...